“Saya Tak Mungkin Maafkan Selva Kumar,” Kata Mangsa Rogol

PETALING JAYA — Susan Chapelle berusia 26 tahun ketika beliau dirogol Selva Kumar Subbiah pada 1991.

 

Hanya sekarang wanita itu dapat menerima hakikat bahawa maruahnya dicabuli warga Malaysia itu, yang dianggap perogol bersiri paling aktif di Kanada.

 

Ahli majlis kerajaan tempatan Squamish, Kanada itu mengingatkan pembebasan Selva Kumar, kini sudah pulang ke Malaysia, harus diterima dengan waspada.

 

“Malaysia perlu faham bahawa Selva itu seorang pesalah berulang dan seorang lelaki yang ganas,” kata Chapelle kepada akhbar Malay Mail.

 

Beliau masih ragu-ragu sama Selva Kumar telah berjaya dipulihkan selepas menjalani hukuman penjara selama 25 tahun di negaranya.

 

Tambahnya, beliau tidak mungkin memaafkan lelaki itu atas tindakan terhadapnya lebih suku abad tahun lalu.

 

Sementara itu di Johor Baru, lapor Bernama, polis menyatakan Selva Kumar bersetuju dipantau walau tidak diwajibkan undang-undang untuk melaporkan diri.

 

Ketua polis negara berkata lelaki 56 tahun itu kini berada di Lembah Klang dan sudah memberikan butiran diri sejurus tiba di negara ini semalam.

 

“Kita (polis) tahu di mana dia (Selva Kumar) akan tinggal, jadi kita akan pantau dia.

 

“Undang-undang kita (Malaysia) tidak membenarkan kita (polis) menahan dia, tetapi dia sendiri rela dan bersetuju untuk dipantau,” kata Tan Sri Khalid Abu Bakar. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.