Ramai Murid Islam Di Sekolah Gereja, Pakar Saran Tukar Sekular

LONDON – Peratusan pelajar Islam di Sekolah Gereja England kini meningkat sehingga melebihi pelajar Kristian.

 

Malah, Ada juga sekolah dilaporkan 100 peratus muridnya Islam, petik projekMMO.

 

Disebabkan perkara ini berlaku, pakar pendidikan mencadangkan sekolah tersebut beralih sebagai institusi sekular agar tidak mengelirukan murid Islam dan juga Kristian, lapor portal Daily Mail kelmarin.

 

Di Sekolah gereja St Thomas di Werneth, Oldham juga dilaporkan tiada langsung murid Kristian dan dihadiri 100 peratus pelajar Muslim.

 

Sekolah rendah gereja di Bolton mempunyai 90 peratus murid Islam, sementara di Yorkshire Barat, 98 peratus pelajarnya datang daripada latar belakang keluarga Islam.

 

“Gereja England sejak dulu menyediakan pendidikan di negara ini, namun kini ia berdepan risiko rasa kurang senang pelajar Muslim di kebanyakan sekolah ini.

 

“Ia juga sangat mengelirukan segelintir pelajar Kristian di beberapa sekolah ini. Jadi munasabah sekolah-sekolah ini dijadikan institusi sekular,” kata profesor Alan Smithers, pengarah pusat pendidikan di Universiti Buckingham kepada Sunday Times.

 

Menurut portal Christian Today semalam, ada laporan menyatakan 30 sekolah gereja dihadiri lebih ramai pelajar Islam, sementara Gereja England menganggarkan hanya 20 buah.

 

Perkhidmatan Pendidikan Katolik pula menyatakan pelajar Islam mengatasi murid Kristian di kira-kira 15 buah sekolah sahaja.

 

Dengan kehadiran pendatang Islam di kawasan terbabit, sekolah-sekolah gereja menghormati budaya dan sensitiviti murid Islam, termasuk menjual tudung seperti di Bradford.

 

Selain membenarkan solat dan doa, sekolah-sekolah gereja ini yang menerima dana kerajaan turut merayakan sambutan hari kebesaran Islam.

 

“Setiap hari kami memulakan sekolah dengan bacaan doa, mengingati Tuhan dalam kehidupan kami,” menurut laman web sekolah gereja St Thomas seperti dilapor Daily Mail.

 

“Semua kanak-kanak mengikuti subjek Pendidikan Agama dan kami merayakan hari kebesaran Muslim dan juga Kristian.”

 

Nigel Genders, seorang pemimpin Kristian di Bradford, berkata pada dasarnya sekolah gereja bukan hanya untuk penganut Kristian tetapi untuk seluruh masyarakat setempat.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.