Pembangkang Kena ‘Cermin Diri’ Dulu: Rafizi

PETALING JAYA – Usaha menyelamatkan Malaysia tidak mencukupi dengan pembangkang sekadar menuding jari terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, sebaliknya pembangkang perlu imbas kembali dan menginsafi apa dilakukan sebelum ini sehingga menyebabkan pengundi mengekalkan Umno-BN.

 

“Kita kena ‘cermin diri’ sendiri. Selagi kita tak buat begitu, maka kita akan ada masalah mendapat undi terutamanya dari orang Melayu,” katanya dalam sesi meja bulat Selamatkan Malaysia, di sini, hari ini.

 
Menurut Rafizi, pembangkang selama ini tersilap apabila menyangka orang Melayu khususnya di luar bandar tidak memahami isu dibawa pembangkang.

 

“Selama ini kempen dan cara kita menyampaikan maklumat seolah-olah pengundi Melayu di kampung tak boleh ‘mengira’. Tetapi Melayu sebenarnya faham isu nasional.

 

“Masalah kita bukannya Melayu tak faham dengan kerosakan dilakukan Najib, tapi sebab mereka tak yakin kita boleh tadbir dengan lebih baik dan memastikan kerosakan sama tidak berlaku. Melainkan kita menukar cara mendekati mereka,” katanya.

 

Sehubungan itu, katanya, pembangkang perlu memikirkan cara untuk dinilai sebagai satu gabungan politik yang jujur dan benar-benar mahu membantu rakyat.

 

“Kenapa ada masalah kredibiliti itu? Sebab mereka (rakyat) merasakan sehingga sekarang kita masih belum dapat mengemukakan rangka penyelesaian yang bukan saja ‘incredible’ tapi jujur.

 

“Sebab itu kita kena cermin diri dan fikir bagaimana kita dapat dinilai sebagai satu gabungan politik yang jujur dan benar-benar mahu membantu dan bukan sekadar untuk menang ke Putrajaya,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.