Orang Ramai Diminta Berhati-Hati Kehadiran Buaya Di Sungai Klang



SHAH ALAM – Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak melakukan sebarang aktiviti memancing berhampiran Jambatan Kota di Sungai Klang, Selangor berikutan penemuan seekor buaya sepanjang dua meter di kawasan itu baru-baru ini.

 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Omar Mohamad berkata pihaknya juga akan sentiasa memantau sungai berkenaan untuk melihat sama ada buaya dipercayai jenis air masin itu muncul semula.

 

“Buaya tersebut berkemungkinan muncul di sungai itu disebabkan hilang habitat berikutan fenomena banjir dan air pasang,” katanya.

 

Omar berkata demikian ketika mengulas rakaman video yang menunjukkan kemunculan seekor buaya di Sungai Klang yang tular di laman sosial, baru-baru ini.

 

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Abd Rahim Othman dilaporkan berkata jabatan itu akan memantau pergerakan buaya berkenaan dan buat masa ini pihaknya tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menangkap haiwan itu.

 

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Datuk Yasid Bidin pula berkata pihaknya dalam proses untuk meletakkan tanda amaran “Awas Buaya” di sungai berkenaan.

 

Beliau bagaimanapun berkata kemunculan kerap buaya di sungai itu berpotensi dijadikan sebagai satu tarikan baharu bagi pelancong di bandar diraja Klang dengan aspek keselamatan ditingkatkan. – Bernama



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.