NGO Gesa Batalkan Pertandingan Model Separuh Bogel Di Selangor

KUALA LUMPUR – Ikatan Muslim Malaysia (Isma) Daerah Hulu Langat menggesa agar penganjuran program Supermodel International Malaysia 2017 – Bikini Photograph Contest (BPC) yang bakal diadakan di Bangi dibatalkan.

 

Menurut Yang di Pertua Isma DHL, Mohd Noor Azib Asmanggi, beliau menyifatkan pertandingan bakal berlangsung pada 19 Februari di Bangi tersebut tidak menghormati sensitiviti penduduk tempatan yang majoritinya beragama Islam.

 

 

“Program seperti ini perlu dibatalkan sebagai menghormati penduduk yang majoritinya ialah Melayu Islam.

 

 

“Pihak Isma sendiri menolak sekeras-kerasnya penganjuran program yang tidak memberi manfaat kepada umat Islam sebegini dan yang mempromosikan program-program yang berbentuk sosial serta tidak bermoral secara terbuka begini,” katanya.

 

 

Ekoran daripada itu, beliau meminta agar penduduk tempatan bersama-sama dengan Isma untuk membantah program berkenaan.

 

 

“Jadi, kita menyarankan penduduk menolak dan membantah program sebegini dianjurkan di Bangi.

 

 

“Kami akan berhubung dengan persatuan penduduk Bandar Baru Bangi untuk membincangkan bagi mengeluarkan petisyen bantahan bersama,” ujarnya.

 

 

Dalam pada itu, poster mengenai pertandingan tersebut yang dianjurkan oleh syarikat penganjuran acara, I Creative Event Sdn Bhd tersebar di laman sosial.

 

 

Dikatakan pertandingan tersebut bakal diadakan di Taman Tema Air dan Resort Bangi Wonderland yang terletak di Bangi Avenue.

 

 

Menerusi poster yang menjadi tular itu, Pemenang pertandingan sesi penggambaran tersebut  akan memenangi wang berjumlah RM 500, trofi dan tiket ke makan malam gala program itu yang mana tiketnya bermula pada harga RM 300 seorang dan mencecah sehingga RM 10,000 bagi sebuah meja platinum.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.