Lim Kit Siang Tidak Jujur, Kata Bekas Naib Pengerusi DAP

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang bersikap tidak jujur apabila menyamakan desakan pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal Bumiputra Malaysia Finance Malaysia Ltd. (BMF) dan perdagangan mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, Kit Siang dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu memahami bahawa 1MDB telah menjalani proses siasatan pihak berkuasa sedangkan tiada siasatan seperti itu pernah dilakukan dalam isu skandal BMF dan perdagangan mata wang asing oleh BNM setakat ini.

 

“Kit Siang dan Dr. Mahathir semalam mahu sekiranya RCI dibentuk untuk menyiasat skandal BMF dan BNM, maka perkara sama perlu dilakukan terhadap 1MDB. Perkara ini sangat tidak jujur.

 

“Kita jangan lupa bahawa isu 1MDB telah disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Jabatan Audit Negara, Peguam Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala tiada siasatan dijalankan terhadap isu BMF dan BNM, malah Parlimen telah diperdaya dalam isu ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

 

Semalam, Kit Siang dalam satu sidang akhbar mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa RCI perlu ditubuhkan bagi menyiasat skandal BMF dan perdagangan mata wang asing oleh BNM yang dikaitkan dengan Dr. Mahathir.

 

Malah, dalam sidang akhbar yang dihadiri Dr. Mahathir, bekas Perdana Menteri itu juga telah meletakkan syarat supaya suruhanjaya berkenaan juga perlu ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB.

 

Mengulas lanjut, Tunku Abdul Aziz berkata, hanya menerusi penubuhan RCI sahaja yang mampu mendedahkan kebenaran dalam isu skandal BMF dan perdagangan mata wang asing ini.

 

“Meskipun isu ini telah lama berlaku, tetapi apabila ‘jenayah’ telah dilakukan, maka tiada had masa untuk itu (siasatan) kerana ‘buku’ masih lagi terbuka,” jelasnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.