JDT Tewas 0-3 Kepada Gamba Osaka

KUALA LUMPUR – Harapan Johor Darul Ta’zim (JDT) bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia buat kali pertama musim ini, musnah selepas tewas 0-3 kepada Gamba Osaka pada perlawanan play-off di Stadium Bola Sepak Bandaraya Suita, Osaka, semalam.

 

Berikutan kekalahan itu, skuad bimbingan Benjamin Mora itu terpaksa sekali lagi akan bersaing dalam Piala AFC untuk tahun ketiga berturut-turut.

 

Namun begitu, JDT sudah mencipta sejarah baharu selepas muncul kelab pertama dari Malaysia yang berjaya mara ke perlawanan play-off ACL selepas dua tahun berturut-turut terkandas di pusingan kedua kelayakan.

 

Pada perlawanan itu, Gamba Osaka dilihat lebih menguasai permainan dan berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-26 menerusi pemain kelahiran Brazil, Ademilson Braga Junior yang menanduk masuk bola hantaran lintang Konno Yasuyuki.

 

Tiga minit kemudian, benteng pertahanan JDT yang diketuai Marcos Antonio bolos lagi selepas Nagasawa Shun meledak gol kedua buat tuan rumah.

 

JDT dilihat cuba bangkit dengan beberapa percubaan terutama rembatan jarak jauh Brian Ferreira pada minit ke-41, namun ditepis penjaga gol Gamba Osaka, Higashiguchi Masaaki.

 

Bersambung babak kedua, jentera serangan Harimau Selatan JDT dilihat terus berusaha memecahkan kebuntuan jaringan namun tetap gagal memecahkan kekebalan benteng pertahanan Gamba Osaka.

 

Sebaliknya, tuan rumah yang juga juara ACL tahun 2008 menambah jaringan ketiga pada minit ke-70 menerusi Genta Miura yang menanduk masuk bola sepakan sudut Endo Yasuhito.

 

Keputusan 3-0 memihak Gamba Osaka kekal hingga wisel penamat dan JDT kini perlu kembali fokus untuk merampas Piala AFC yang dimenangi pada 2015. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.