Bangladesh Tidak Benar Kapal Food Flotila For Rohingya Berlabuh

LAUT ANDAMAN – Usaha murni misi kemanusiaan Malaysia, Food Flotilla for Myanmar untuk membantu etnik Rohingya sekali lagi berdepan cabaran apabila kerajaan Bangladesh tidak memberi kelulusan untuk kapal Nautical Aliya berlabuh di Teknaf atas alasan ke­selamatan dan faktor saiz kapal.

 

Bagaimanapun, ketua misi berkenaan yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kerajaan Bangladesh memberi pilihan untuk kapal itu berlabuh di pelabuhan Chittagong, Kutubdia atau St. Martin, namun sukarelawan tidak dibenarkan turun daripada kapal Nautical Aliya.

 

“Kita akur dengan keputusan kerajaan Bangladesh dan tidak kisah untuk berlabuh di mana-mana pelabuhan yang mereka benarkan walaupun terpaksa mengambil tempoh yang lebih lama di laut.

 

“Tetapi kami meminta jasa baik kerajaan Bangladesh atas sema­ngat sesama Islam untuk membenarkan para sukarelawan turun membantu di kem pelarian. Kita tidak dapat selesaikan misi ini jika para sukarelawan tidak dapat membantu etnik Rohingya di sana,” katanya di sini hari ini.

 


Video oleh SAFINA RAMLI

Sebelum ini, kerajaan Bangladesh tidak membenarkan misi kemanusiaan Food Flotilla for Myanmar memberikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya di negara itu.

 

Bagaimanapun pada 3 Februari, hasil rundingan dan hubung­an dua hala yang erat antara dua negara akhirnya kerajaan Bangladesh memberi kebenaran untuk misi itu diteruskan di Teknaf de­ngan persetujuan untuk memberi visa ketibaan (VOA) kepada semua sukarelawan.

 

Mengulas lanjut, Abdul Azeez memberitahu, misi Food Flotilla for Myanmar hanya memerlukan empat hari sahaja untuk berada di kem-kem pelarian di Bangladesh bagi tujuan pengagihan sumbang­an dan penyaluran bantuan perubatan.

 

“Kita telah menyusun jadual yang mana setiap hari 30 atau 50 sukarelawan terutama pasukan perubatan sahaja akan turun dari kapal untuk membantu etnik Rohingya di kem pelarian yang dibenarkan.

 

“Jika kami sampai 10 Februari di Bangladesh kami akan keluar dari sana 15 Februari, semua sukarelawan mesti turun kerana kita mahu lihat sendiri barang­an sumbangan yang merupakan amanah rakyat Malaysia dan seluruh dunia sampai kepada golongan sasar,” katanya.

 

Abdul Azeez berkata, beliau te­lah memaklumkan perkara itu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri telah berjanji untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan misi itu berjalan lancar. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.