Sultan Johor Berkenan Kunjung Rumah Exco

KUALA LUMPUR  – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengunjungi rumah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di Taman Setia Tropika, Johor.

 

Sultan Ibrahim diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam, putera dan puteri Sultan Johor, Tunku Tun Aminah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar tiba di rumah Siew Kiong kira-kira jam 10.20 pagi, lapor BH.

 

Sementara itu, Siew Kiong berkata, ia menjadi sejarah keluarganya apabila Sultan Johor sudi mencemar duli hadir ke rumahnya sempena perayaan masyarakat Tionghua itu.

 

Menurutnya, ia membuktikan Tuanku seorang yang prihatin, dimana sebelum ini juga Sultan turut mengunjungi program Chingay dan Chap Goh Mei.

 

“Ini bukti konsep bangsa Johor, kita hormat menghormati semua bangsa di Johor. Kita mahu Johor jadi satu negeri yang bermoral, harmoni, bahagia dan sederhana,” katanya.

 

 

Terdahulu Sultan Johor dalam titah yang dimuat naik dalam Facebook (FB) rasmi baginda mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada semua masyarakat Cina.

 

“Moga kita sentiasa dirahmati dengan kesihatan yang baik, kebahagiaan dan kemakmuran. Saya juga ingin mengingatkan Bangsa Johor bahawa ‘Muafakat itu Berkat’, maka marilah kita terus saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira kaum, agama atau budaya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.