PM, TPM Hadir Meriahkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyertai kira-kira 5,000 rakyat pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan majlis Rumah Terbuka MCA sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Wisma MCA, Jalan Ampang, di sini, pagi tadi.

 

Menggayakan baju batik, Najib yang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, tiba ke majlis itu pada kira-kira jam 9.50 pagi. Terdahulu hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

 

Ketibaan kedua-dua pemimpin utama negara itu disambut oleh Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalannya, Datuk Seri Wee Ka Siong serta barisan kepimpinan MCA.

 

Antara kenamaan lain yang hadir, Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shahbery Cheek; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abd Aziz Kaprawi serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

 

Najib serta semua pemimpin yang berpakaian berwarna merah, nanti akan diiringi ke pentas bagi menyempurnakan acara tradisi menggaul yee sang, makanan tradisi ketika sambutan perayaan itu, yang melambangkan kemewahan, kemakmuran dan kesuburan.

 

Yee Sang adalah sejenis salad ikan mentah gaya Chaozhou, biasanya terdiri daripada potongan daging ikan mentah (khususnya salmon), yang bercampur dengan cebisan sayur-sayuran dan beraneka sos serta perasa.

 

Sementara itu, tetamu dihiburkan dengan persembahan kebudayaan Cina dan 1Malaysia, selain menikmati pelbagai juadah seperti sate; laksa; apam balik; teh cina; aneka kuih raya dan limau mandarin. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.