Parti Amanah Sedia Lawan Di Semua Kerusi Pas

SHAH ALAM – Parti Amanah Negeri Selangor bersedia meletakkan calon di semua tempat di Dun dan Parlimen yang diwakili Pas.

 

Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim berkata, pihaknya kini dalam mengenal pasti calon yang sesuai untuk bertanding pada PRU14.

 

“Kita dalam usaha menapis calon yang bersesuaian selewat-lewatnya sebelum Ramadan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

 

Menurutnya, Amanah Selangor kini mempunyai 6,000 ahli.

 

“Sasaran kita untuk mempunyai 10,000 ahli di Selangor bakal tercapai berikutan sambutan masyarakat terhadap Amanah amat menggalakkan menerusi setiap aktiviti dan program yang diadakan,” katanya.

 

Sebelum ini, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad menganggap Amanah merupakan ancaman kepada parti Islam itu, selain Umno berikutan Amanah dijangka akan bertanding sebanyak lapan kerusi di Selangor dalam PRU akan datang.

 

“Ancaman Pas adalah Umno tapi ada musuh baharu di mana mereka akan bertanding lapan kerusi, letak diri sama macam Umno, bermakna di lapan kawasan mereka akan rampas,” katanya ketika berucap di Ijtima’ Pilihan Raya Selangor lalu.

 

Dalam pada itu juga, Iskandar berkata, Pas akan bertanding di lima lagi kerusi di Selangor dalam PRU akan datang, menjadikan jumlah kerusi keseluruhan yang ditandingi mereka menjadi 25 kerusi.

 

“Pas mengambil keputusan itu bukan disebabkan tergugat dengan Amanah, sebaliknya kerana desakan daripada akar umbi parti berkenaan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.