CCTV Tiada Dalam Tandas Premis

KUALA LUMPUR – Pengusaha restoran di Tanjung Lumpur, menafikan terdapat kamera litar tertutup (CCTV) ditemui dipasang dalam tandas premisnya sebaliknya alat itu ditemui dalam bilik air rumah sewanya.

 

Pemilik Restoran Marina, Hasnah Omar, 41, berkata, berasa kesal kerana maklumat salah itu telah disebarkan sehingga menjadi viral dalam laman sosial, Facebook.

 

Menurutnya, dia mendapat banyak panggilan telefon daripada rakan-rakan yang bertanyakan mengenai perkara itu.

 

“Viral itu tersebar dengan cepat termasuk di Facebook milik beberapa individu sehingga menjatuhkan imej serta menjejaskan perniagaan saya.

 

“CCTV itu ditemui ketika sepupu datang membaiki paip di dalam bilik air di rumah sewa itu sebelum menjumpai alat itu dengan wayarnya disambungkan ke rumah belakang,” katanya, lapor Sinar.

 

Terkejut dengan penemuan itu dia terus sahaja membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan dirinya.

 

Hasnah yang mengusahakan Restoran Marina sejak 10 tahun lalu bukan sahaja mengalami kerugian namun mengalami tekanan apabila terpaksa berdepan pertanyaan pelanggan mengenai perkara itu.

 

“Saya juga menjadi mangsa khianat kerana CCTV itu dipasang di dalam bilik air rumah sewa.

 

“Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu terlibat. Saya harap keadaan akan kembali seperti biasa dan reputasi restoran saya dapat dipulihkan,” katanya.

 

Sementara itu, peguamnya, Mohd Haris Al Hajj Abdullah akan mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang menyebarkan maklumat palsu tersebut menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

 

“Kita akan siasat pihak yang sebar gambar palsu berkenaan sehingga diviralkan dan tindakan saman malu dan ganti rugi akan diambil selepas mendapat maklumat lengkap,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.