Video: Mat Sabu, Husam Dan Hatta Ramli Enggan Komen Isu Gulingkan Hadi Awang

Kuala Lumpur – Ketiga-tiga pemimpin tertinggi Pas yang dikaitkan sebagai dalang bagi menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengelak daripada menjawab mengenai dakwaan tersebut.

 

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang ditemui selepas Mesyuarat Pimpinan PR hari ini hanya menjawab tiada komen ketika diajukan soalan mengenai konspirasi itu.

 

 

Manakala, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa pula turut mengelak daripada ditemubual media.

 

Sementara itu Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli pula turut enggan mengulas tuduhan yang dilemparkan Pemuda PAS Kuantan kononnya beliau mendalangi gerakan mahu mengguling presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Beliau ketika dihubungi hanya berkata ‘no komen’ dan tidak berhasrat untuk mengulas lanjut, meskipun telah dipujuk berkali-kali.

 

“Kalau pasal isu itu, saya no komenlah,” ujar Hatta sambil tertawa kecil.

 

Selain ketiga-tiga mereka turut didedahkan Pemuda PAS Kuantan adalah AJK PAS Pusat, Aiman Athirah dan Mazhar Yusof.

 

Beberapa pemimpin tertinggi PAS dipercayai turut terlibat namun nama mereka dihitamkan, mungkin sebagai langkah berjaga-jaga Pemuda PAS itu.

 

Sebaik sahaja terbongkar beberapa nama individu yang dikatakan bertanggungjawab mahu menggulingkan Hadi dan golongan ulama dalam PAS, laman Facebook mula dibanjiri dengan sokongan dan kritikan ahli PAS kepada dua pihak.

 

Pihak pertama penyokong Hadi dan golongan ulama dan kedua golongan profesional yang sering digelar sebagai golongan Anwarinas.

 

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub berkata, mesyuarat Pas Pusat yang turut berlangsung semalam tidak membincangkan mengenai dakwaan komplot tersebut.

 

“Kita tidak pernah bincang secara rasmi mengenainya. Tidak ada siapa dalam kalangan pimpinan tertinggi nak jatuhkan Presiden,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.