Pesawat Terhempas: TranAsia Batal 52 Penerbangan Minggu Depan

Taipei – TransAsia akan membatalkan 52 penerbangan pada awal minggu depan, supaya juruterbangnya boleh menjalani latihan, susulan tragedi yang menimpa penerbangan GE235, Rabu lalu.

 

“Kami telah membatalkan 90 penerbangan domestik sejak tiga hari lalu. Kami akan membatalkan tambahan 52 penerbangan, pada Isnin dan Selasa ini,” kata Naib Presiden TransAsia Airways, Amy Chen yang dipetik Reuters.

 

Pentadbiran Penerbangan Awam (CAA) Taiwan telah mengarahkan latihan semula diadakan untuk semua juruterbang TransAsia yang membawa pesawat jenis ATR.

 

“Semua 71 juruterbang ATR akan menduduki ujian kecekapan yang dijalankan CAA dan profesional pihak ketiga selama kira-kira empat hari,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan TransAsia Airways, semalam.

 

Dalam pada itu, AP melaporkan, wakil TransAsia hari ini menemui waris mangsa tragedi pesawat terhempas di Sungai Keelong, untuk membincangkan bayaran pampasan kepada mereka.

 

Jurucakap TransAsia, Fang Chia-wen berkata, mesyuarat kedua akan diadakan pada Rabu ini, untuk membincangkan perkara berhubung bayaran pampasan dengan lebih lanjut.

 

Jelasnya, syarikat penerbangan itu telah mula menyerahkan $38,000 atau RM134,820 kepada keluarga setiap mangsa korban untuk tujuan pengebumian.

 

Di lokasi kejadian, lebih 160 penyelam masih mencari mayat tiga mangsa yang hilang menggunakan pengesan logam, bagi mengesan jam tangan atau tali pinggang mangsa.

 

“Sesetengah mangsa mungkin ada membawa barang-barang logam bersama mereka, contohnya rantai, jam tangan dan duit syiling yang boleh dikesan.

 

“Masih ada empat kerusi hilang, jadi kemungkinan mangsa masih memakai tali pinggang keledar dan mereka tenggelam bersama kerusi ke dasar sungai,” kata pegawai Jabatan Bomba Bandar Taipei, Wu Jun-hung.

 

Sekurang-kurangnya 40 maut, selepas pesawat ATR 72-600 itu terhempas di Sungai Keelong, sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Songshan di Taipei, pada Rabu lalu.

 

Seramai 15 daripada 53 penumpang dan lima anak kapal penerbangan GE235 berjaya diselamatkan. – TRP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.