Penduduk Bimbang Anjing Berkeliaran Di Kubur

Penduduk sekitar Kampung Gong Pasir bimbang apabila lebih 1,000 kubur di Tanah Perkuburan Islam kampung itu kini diancam kehadiran sekumpulan anjing liar sejak dua bulan lalu.

 

Orang ramai yang menziarahi kubur di situ turut berasa terganggu apabila anjing liar berkenaan menyalak dan ada yang mengejar mereka yang cuba mendekati kawasan perkuburan itu.

 

Seorang penduduk, Mohamad Rahmat, 46, berkata penduduk berasa bimbang kerana anjing liar itu turut menggali kubur sedalam satu hingga dua meter dan menjadikan kawasan perkuburan itu sebagai habitat baharu mereka.

 

“Habis rosak teruk kubur kerana dikorek oleh anjing liar ini dan kita bimbang jika perkara ini dibiarkan berterusan akan menyebabkan lebih banyak kerosakan teruk pada kubur Islam ini.

 

“Aktiviti menziarahi kubur juga agak terganggu kerana orang ramai bimbangkan keselamatan mereka, malah kehadiran anjing yang dikategorikan sebagai najis berat menyebabkan kami berasa tidak selesa,” katanya kepada Bernama hari ini.

 

Tinjauan Bernama mendapati kira-kira 17 ekor anjing liar terdapat di sekitar kawasan perkuburan Islam berkenaan dan turut mengganggu ayam yang dipelihara penduduk kampung.

 

Seorang lagi penduduk, Che Ku Zainal Che Ku Muda, 45, berkata beliau telah membuat aduan ke Majlis Perbandaran Dungun (MPD) untuk memaklumkan masalah itu.

 

“Namun, saya diberitahu MPD tidak boleh menembak anjing-anjing liar itu sebaliknya peraturan menetapkan mereka hanya boleh menangkap sahaja haiwan berkenaan.

 

“Jadi, penduduk sangat berharap agar masalah ini dapat diselesaikan segera untuk mengembalikan semula keadaan seperti biasa,” katanya.

 

Sementara itu, Yang Dipertua MPD, Abdul Rahman Ali ketika dihubungi berkata pihaknya ada menerima aduan penduduk mengenai perkara itu dan MPD sedang mengambil tindakan termasuk memasang perangkap untuk menangkap anjing liar berkenaan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.