Pembangkang Jangan Api-Apikan Ketegangan Kaum – Polis Miri

Polis Miri mengingatkan ahli politik pembangkang tidak mengapi-apikan ketegangan kaum berhubung insiden sekatan pada 24 Disember 2014 dengan menuduh polis tidak menghormati adat penduduk setempat atau berdepan risiko ditahan mengikut Akta Hasutan 1948.

 

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Gan Tian Kee berkata polis tidak akan berkompromi dengan pesalah undang-undang yang menggunakan adat sebagai alasan melakukan perbuatan salah, kerana menyokong perbuatan itu umpama menggalakkan atau menyokong perbuatan jenayah dengan mengambil tindakan undang-undang sendiri.

 

“Saya faham sepenuhnya tentang adat ‘miring’ tetapi itu tidak boleh disalahgunakan untuk mewajarkan perbuatan jenayah, ‘miring’ diadakan dari 17 hingga 21 Disember 2014, kami telah menempatkan satu platun Pasukan Gerakan Am (PGA) di tapak itu untuk mengelakkan konflik fizikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pesta “Miring” adalah sebahagian adat kaum Iban untuk memohon restu daripada roh atau nenek moyang untuk kejayaan di masa depan bagi usaha mereka atau membuat hajat.

 

“Polis tidak akan teragak-agak untuk menggunakan Akta Hasutan terhadap sesiapa yang terus mengekploitasi isu itu untuk menjejaskan keharmonian kaum yang dinikmati di negeri ini,” kata Gan.

 

Beliau menjelaskan polis telah banyak bersabar dan selama dua hari memujuk para pesalah agar membuka sekatan yang dibina secara haram itu, namun tidak dipedulikan. Sebaliknya pihak yang membina sekatan itu menuntut RM10,000 sebagai pampasan membuka sekatan itu.

 

“Tuntutan sebanyak RM10,000 itu seperti meminta wang tebusan dan tidak boleh diterima, jika ini dibenarkan seolah-olah tiada undang-undang,” katanya dan menambah sebarang pertikaian melibatkan Tanah Adat Pribumi (NCR) patut diselesaikan di mahkamah.

 

Gan berkata bagi kes itu, mahkamah telah membuat keputusan dan mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu boleh merayu ke mahkamah lebih tinggi untuk menyelesaikannya dan ahli politik sepatutnya mengelak daripada mengeksploitasi isu itu untuk kepentingan politik dan mewujudkan jurang antara penduduk setempat dengan polis.

 

Pada Selasa, penduduk rumah panjang daripada kawasan terlibat iaitu Rumah Jeli, Rumah Rajit, Rumah Jambai, Rumah Edward Ekau dan Rumah Duat di Bekenu 6 dilaporkan marah dengan tindakan polis Miri, walaupun insiden itu berlaku kira-kira sebulan lepas.

 

Jurucakap rumah panjang berkenaan, Jambai Jali telah mengadakan sidang media, mendakwa Gan tidak menghormati adat Iban apabila membuka sekatan di Sungai Bekelit, Sibuti dan beberapa hari kemudian pemimpin PKR di Miri dilaporkan turut menyokong dengan mempersoalkan tindakan polis itu.

 

Sekatan itu dibina bagi membantah tindakan sebuah syarikat perladangan kelapa sawit yang didakwa menceroboh tanah NCR mereka yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Miri. – Malaysian Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.