Pakatan Rakyat Gagal Selesai Isu Hudud

Kuala Lumpur – Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang kecewa dengan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat sekali lagi dilihat gagal menyelesaikan isu pelaksanaan Hudud ketika mesyuarat majlis kepimpinan berlangsung hari ini.

 

Sebaliknya, pimpinan pembangkang hanya mengumumkan satu mesyuarat khas akan diadakan bagi membincangkan isu tersebut pada tarikh yang tidak didedahkan.

 

Tan juga mempersoalkan sama ada PR boleh buat keputusan sebelum PAS membentangkan undang-undang Hudud itu bulan depan.

 

“Bolehkah Pakatan jaminan bahawa PAS tidak akan bentang undang-undang Hudud untuk Kelantan sementara menunggu mesyuarat kepimpinan Pakatan yang akan datang?

 

“Keengganan Pakatan menyatakan bantahan dan menyekat PAS dari melaksanakan undang-undang Hudud di Kelantan menunjukkan ketidakupayaan Pakatan untuk menyelesaikan isu-isu sebenar,” katanya dalam satu kenyataan segera selepas mesyuarat hari ini.

 

Tan juga berkata penentuan perbicaraan kes liwat Anwar pada Selasa ini bukan penyebab untuk menangguhkan apa-apa keputusan mengenai undang-undang Hudud.

 

“Itu kes ‘peribadi’ dan tidak boleh mengatasi kepentingan negara dan rakyat.

 

“Ini juga satu contoh jelas DAP tidak ikhlas menghentikan PAS dari melaksanakan hukum Hudud di negara ini apabila diberi peluang untuk berbuat demikian dalam mesyuarat hari ini,” kata Tan.

 

Tan berkata demikian ketika mengulas mengenai Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan isu hudud dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

Dalam pada itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mesyuarat berkenaan diadakan bagi merangka penyelesaian membabitkan kedua-dua isu yang berbangkit.

 

Malah katanya, keputusan mengadakan mesyuarat khas itu telah dipersetujui ketiga-tiga parti gabungan PR.

 

“Di samping itu, bagi mendokong sokongan para penyokong PR selama ini, ketiga-tiga parti juga telah bersetuju mengadakan Konvensyen PR pada 10 Mei depan.

 

“Konvensyen berkenaan mungkin akan diadakan di Kuala Lumpur namun begitu ia akan ditentukan oleh Sekretariat PR,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan PR di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

 

Turut hadir Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.