Muzium 3D Tarikan Terbaharu Langkawi

LANGKAWI 7 Feb. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini merasmikan Muzium 3D Art of Paradise Langkawi di Oriental Village dekat sini yang merupakan muzium seni tiga dimensi kedua terbesar di dunia.

 

Muzium yang memiliki keluasan ruang pameran hampir 2,000 meter persegi dalam bangunan tiga tingkat itu terbahagi kepada sembilan zon yang meliputi ilusi optik, akuarium, safari, interaktif 1 dan 2, fantasi, klasik, zon tema Mesir, istana lama dan pemandangan serta zon Malaysia.

 

Menurut Dr. Mahathir, muzium itu merupakan satu usaha terbaik untuk mempromosi aktiviti pelancongan khususnya di Oriental Village yang turut menjadi lokasi perkhidmatan kereta kabel yang popular.

 

“Pameran lukisan yang luar biasa ini dapat dirasai seolah-olah berada dalam keadaan sebenar yang terdapat dalam pelbagai jenis kehidupan seperti di dasar laut, hutan bersama binatang dan juga alam fantasi.

 

“Dengan adanya pameran yang istimewa seperti ini akan menambah lagi daya penarik kepada pelancong apabila berkunjung ke negara ini khususnya di pulau pe­ranginan ini.

 

“Pertambahan produk pelancongan juga dapat menaikkan taraf hidup penduduk tempatan yang menjalankan perniagaan dalam industri pelancongan,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas me­rasmikan muzium tersebut.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Tan Sri Khalid Ramli berkata, projek Muzium 3D itu mengambil masa hanya lima bulan untuk disiapkan dan dibuka kepada orang ramai bermula 31 Januari lepas.

 

Menurutnya, Lada juga sedang berusaha untuk membina sebuah muzium coklat selain menambahkan aktiviti rekreasi lain di kawasan Oriental Village yang telah berjaya menarik kira-kira 1.5 juta pengunjung tahun lepas.

 

Muzium 3D yang mempunyai kira-kira 200 lukisan itu kini dibuka setiap hari kepada pengunjung bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang dengan harga tiket RM30 bagi dewasa dan RM20 kanak-kanak pemegang MyKad. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.