Mat Sabu Kata Meluat Dan Benci Tinggal Di Malaysia

Permatang Pauh – Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata beliau “meluat’ tinggal di Malaysia malah akan berhijrah ke negara lain jika menghadapi perbicaraan mahkamah seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

“Jika saya ditawarkan berada di luar negara dan tidak perlu balik ke Malaysia kerana nak hadapi keputusan mahkamah, barangkali saya akan pilih duduk di luar negara. Saya pun meluat tinggal di sini. Benci,” kata beliau kepada kira-kira 500 penyokong pembangkang di ceramah anjuran PKR di sini.

 

Mohamad Sabu yang berkongsi pentas dengan Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng dan Anwar pada majlis berkenaan, berkata beliau kagum dengan Ketua Pembangkang itu.

 

“Kecekalan beliau (Anwar) itu saya sangat hormati sebab ramai pemimpin di dunia mengambil keputusan lari ke luar negara apabila keadaan di negara mereka tidak selamat, mereka akan memilih berada di luar. Bukan takut, tapi ini strategi politik,” katanya di majlis Jelajah Rakyat Hakim Negara di Permatang Pauh, malam tadi.

 

Mahkamah Persekutuan pada Selasa ini akan mengumumkan keputusan terhadap rayuan Anwar Ibrahim untuk membatalkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya di atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

 

Ia adalah saluran undang-undang terakhir untuk Anwar mengelak daripada di penjarakan untuk kali kedua kerana kesalahan meliwat.

 

Selama ini beliau mendakwa tuduhan itu adalah konspirasi politik oleh pemimpin Umno untuk menjatuhkannya. Kerajaan menafikan tuduhan itu dan menegaskan tuduhan liwat dan kes mahkamah Anwar tidak akan kena-mengena dengan kerajaan mahupun Umno.

 

Seperti di ceramah-ceramah sebelum ini, Anwar malam tadi mencanangkan tawaran jawatan dan keselesaan hidup di luar negara oleh pemimpin asing yang meragui badan kehakiman negara.

 

Anwar mendakwa beliau ditawarkan jawatan sebagai Penasihat Agama di Turki dan mendakwa bekas Presiden Indonesia, B.J Habibie pula menasihatkannya untuk menetap di negara itu.

 

Mat Sabu yang juga Pesuruhjaya Pulau Pinang menggesa penyokong Pakatan Rakyat (PR) memberi sokongan padu kepada komponen tiga parti itu sekiranya keputusan mahkamah kelak tidak menyebelahi Anwar. – AP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.