Hanya 500 Yang Hadir Ceramah Anwar Di Permatang Pauh

Permatang Pauh – Meskipun membariskan gadingan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, ceramah Jelajah Rakyat Hakim Negara anjuran PKR hanya menarik kira-kira 500 penyokong Datuk SeriAnwar Ibrahim di kubu kuatnya di Permatang Pauh malam tadi.

 

Sambutan hambar itu jauh berbeza dengan kehadiran puluhan ribu penyokong Ketua Pembangkang itu pada masa-masa lalu untuk mendengar pidato Anwar, khususnya menjelang keputusan mahkamah beliau sebelum ini.

 

Jumlah hadirin kecil malam tadi pasti menimbulkan persoalan terhadap tahap sokongan untuk Ketua Umum PKR itu di ambang keputusan Mahkamah Persekutuan bagi kes Liwat II, Selasa depan.

 

Panel lima hakim akan memutuskan sama ada untuk membatal, mengekal atau menambah hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar selepas Mahkamah Rayuan mensabitkan beliau di atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada tahun 2008.

 

Selain Anwar, ceramah malam tadi di Tapak Pasar Awam Kampong Sama Gagah, turut di hadiri Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Setiausaha Agong DAP LIm Guan Eng dan menteri besar Selangor Azmin Ali.

 

Dalam ucapannya, Anwar sekali lagi mengitarkan tawaran terbaharu bekas Presiden Indonesia, B.J Habibie yang mahukan beliau menetap di negara itu kerana dikatakan sangsi terhadap kewibawaan badan kehakiman Malaysia.

 

“Beliau mengatakan rumahnya besar, ada satu sudut dan empat kamar (bilik) dan mengajak saya tinggal di sini (Indonesia), tak perlu pulang ke Malaysia. (Katanya) Buat apa pulang jika orang-orang jahat itu menghina kamu? Tinggal di sini, boleh ke Istanbul, London,” kata Anwar.

 

“Saya bergurau dengan mengatakan saya mahu enam bilik. Beliau kata tak kisah nak bina lagi. Di sini saya nak katakan bahawa seorang manusia yang prihatin meminta kita elak daripada terjerat dengan sistem (perundangan) sebegini,” kata Anwar.

 

Anwar mendakwa beliau menolak semua pelawaan itu dan ‘rela’ berdepan dengan sistem kehakiman yang didakwanya sebagai berat sebelah kerana mahu melakukan perubahan.

 

“Maknanya saya boleh (berhijrah) jika saya mahu semalam. Kita ada ruang, tetapi saya tekad dengan keputusan kerana yakin perubahan akan berlaku.

 

“Ada orang kata saya kecam sistem kehakiman negara. Tetapi saya katakan bahawa persepsinya memang begitu. Saya kemana-mana seperti Turki, saya diminta tinggal di sana. Begitu juga semasa saya ke London,” ujarnya.

 

Awal minggu ini, Anwar mendakwa badan kehakiman akan hanya dilihat bebas jika beliau dibebaskan dan korup jika beliau dipenjarakan.

 

Anwar menggesa penyokongnya teguh di belakang isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga serta pimpinan parti sekiranya keputusan Selasa ini tidak memihak terhadapnya.

 

“Jika saya dizalimi, saya mahu pesan jaga kekuatan kita. Ini markas kita. Jangan bagi orang lain ganggu,” kata Anwar lagi.

 

Anwar dalam pada itu turut menyentuh Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang akan berlangsung hari ini dengan mengingatkan tiga parti komponen abungan itu untuk terus berpegang kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui sebelum ini.

 

“Kita tak boleh lari dan berganjak daripada dasar yang dipersetujui bersama. Kita dan bincangkan bertahun-tahun dan setuju bersama. Jangan kita rungkai kerana kepentingan rakyat itu terletak banyak daripada kerjasama PR dan NGO,” kata Anwar.  -AP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.