Argentina Sah Ke Olimpik 2016

Sao Paulo – Skuad bola sepak Argentina menempah tiket ke Rio de Janeiro 2016, selepas muncul juara kumpulan dalam pusingan kelayakan bawah 20 tahun Amerika Selatan, di Uruguay, semalam.

 

Pemenang pingat emas Olimpik pada 2004 dan 2008 itu, terlepas temasya empat tahun sekali itu di London, pada 2012.

 

Namun, kemenangan 2-1 ke atas tuan rumah, Uruguay dalam aksi yang berlangsung di Stadium Centenario, Montevideo, semalam, akan menyaksikan Argentina kembali beraksi di temasya Olimpik tahun depan.

 

Uruguay mendahului permainan pada minit ketujuh dengan jaringan Gaston Pereiro.

 

Namun, Argentina berjaya menyamakan kedudukan 1-1 melalui Sebastian Driussi, sebelum tamat separuh masa pertama.

 

Pasukan pelawat mengesahkan kemenangannya menerusi jaringan Angel Correa, sembilan minit sebelum wisel penamat ditiupkan.

 

Selain menjadi juara pusingan kelayakan bawah 20 tahun Amerika Selatan, Argentina turut mengesahkan slot ke Olimpik 2016.

 

Argentina juga menjadi pasukan yang mendapat jaringan terbanyak, iaitu 24 gol menerusi 10 perlawanan.

 

Giovanni Simeone, anak kepada Pengurus Atletico Madrid, Diego adalah penjaring terbanyak untuk pusingan kelayakan ini, dengan sembilan gol dalam 10 perlawanan.

 

Naib juara bawah 20 tahun Amerika Selatan dimenangi Colombia yang menundukkan Brazil 3-0, pada Sabtu.

 

Colombia akan bersaing dengan sebuah pasukan dari zon Concacaf untuk layak ke Rio de Janeiro 2016.

 

Brazil yang menamatkan saingan di tempat keempat dalam pusingan kelayakan bawah 20 tahun Amerika Selatan di belakang Uruguay, layak secara automatik ke Olimpik 2016, selaku tuan rumah temasya itu.

 

Empat pasukan teratas semuanya layak ke Piala Dunia bawah 20 tahun yang akan berlangsung di New Zealand, pada Mei ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.