90 Peratus Mangsa Sindiket Judi Haram Adalah Melayu

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Percaya atau tidak? Dalam tempoh 12 bulan, kegiatan judi haram di negara ini mampu meraih kira-kira RM1 bilion.

 

Satu sumber mendedahkan, dengan keuntungan yang banyak itu sindiket tidak mampu membiarkan mereka mengalami kerugian dan akan berusaha bermati-matian untuk memastikan kegiatan haram itu berterusan.

 

Antaranya, dakwa sumber tersebut, termasuk bersedia memberi ‘habuan’ kepada segelintir anggota agensi penguat kuasa bagi melin­dungi kegiatan mereka.

 

Bagaimanapun, dakwa sumber itu, apa yang diberikan kepada anggota agensi penguat kuasa tersebut terlalu kecil berbanding keuntungan beratus-ratus juta yang diraih oleh sindiket setiap bulan.

 

“Sindiket judi haram ini tidak mempunyai masalah untuk memberikan habuan tersebut kerana mereka me­ngaut keuntungan berpuluh kali ganda daripada jumlah yang dikeluarkan bagi tujuan merasuah agensi penguat kuasa,” kata sumber itu kepada Mingguan Malaysia, di sini.

 

Menjawab satu soalan, sumber itu mendedahkan, wang hasil kegiatan judi haram akan digubah dengan membeli tanah bagi tujuan pertanian atau premis perniagaan.

 

“Melalui cara sedemikian ia akan mampu melindungi perbuatan jahat mereka dan menyukarkan pihak berkuasa mengesan hasil pendapatan yang diperoleh,” katanya.

 

Sumber itu berkata, kegiatan judi haram tidak harus dipandang ringan memandangkan 90 peratus yang menjadi mangsa sindiket adalah dalam kalangan orang Melayu.

 

“Ratusan ribu pelajar sekolah, kakitangan kerajaan, pekerja swasta serta peniaga kecil telah berjaya dirosakkan akhlak mereka oleh petualang-petualang ini,” kata sumber itu.

 

Kata sumber itu lagi, sudah ba­nyak kaki judi yang terdiri daripada orang Melayu yang jatuh bankrap dan terpaksa membuat pinjaman bank serta lebih membimbangkan, terlibat dengan tindakan meminjam daripada ah long bagi meneruskan kehidupan apabila dihimpit masalah kewangan.

 

“Contoh kesan buruk daripada kegiatan judi haram, mangsa dibuang kerja atau sekolah, terdapat pergolakan dalam rumah tangga sehingga melibatkan keganasan, menjadi pencuri atau peragut,” kata sumber lagi.

 

Tambahnya, apabila mangsa kecewa setelah kalah berjudi, mereka lebih cenderung untuk terlibat dalam pengambilan dadah dan kesemua perkara tersebut menyumbang kepada pe­ningkatan kes jenayah di negara.

 

Sumber bertegas, jika kegiatan perjudian haram tidak dibanteras hingga ke akar umbi, Malaysia mungkin bakal menjadi mangsa kepada organisasi mafia seperti yang terjadi di Amerika Syarikat (AS) kira-kira 40 tahun lalu. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.