129 Pekerja Didera Di Mexico

Mexico City – Pihak berkuasa Mexico menyelamatkan 129 pekerja termasuk enam kanak-kanak yang didakwa dieksploitasi secara fizikal dan seksual di sebuah kilang membuat pakaian yang diusahakan warga Korea Selatan, semalam.

 

Seramai empat warga Korea Selatan turut ditahan dan diserahkan kepada pendakwa raya negeri Jalisco, barat Mexico yang dikenal pasti sebagai pemilik dan pengurus syarikat tersebut, Yes International, kata Institut Migrasi Nasional (INM).

 

Pihak berkuasa menyerbu syarikat itu di bandar Zapopan pada Rabu lalu selepas menerima beberapa aduan, kata Koordinator INM, Ardelio Vargas Fosado kepada wartawan, sambil menyifatkan warga Korea Selatan itu sebagai ‘kumpulan yang disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan manusia’.

 

Pihak berkuasa menyelamatkan 121 wanita dan lapan lelaki, termasuk enam kanak-kanak berusia 16 hingga 17 tahun.

 

Pekerja terbabit memberitahu pendakwa raya bahawa mereka menjadi mangsa penderaan fizikal dan seksual, selain didera secara psikologi serta dipaksa kerja lebih masa, kata Vargas Fosado.

 

Empat warga Korea Selatan terbabit gagal membuktikan mereka tinggal secara sah di Mexico.

 

Konsulat Korea Selatan telah dimaklumkan untuk memberi bantuan kepada suspek, kata para pegawai.

 

Ketua pendakwa raya Jalisco, Luis Carlos Najera berkata, pihak berkuasa kini sedang menyiasat sama ada penderaan kanak-kanak dan jenayah seksual didakwa berlaku.

 

“Keadaan tandas pekerja didapati tidak bersih, tempat kerja mereka tercemar dan bahan yang mereka kendalikan mudah terbakar, manakala syarikat itu tidak menyediakan peralatan memadam api,” kata seorang pegawai Kementerian Buruh, Victor Manuel Torres Moreno. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.