Rakyat Buat Perubahan Untuk Lihat Negara Bebas Rasuah, Tapi PH Juga Sama – PAS

SHAH ALAM – PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersikap telus dalam melakukan siasatan dan pendakwaan terutama yang melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH). 

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, ia susulan ‘pembongkaran’ oleh pemimpin Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) sendiri mengenai cubaan salah guna kuasa dan rasuah yang berlaku dalam gabungan parti pemerintah itu.

“Pertama, pendedahan Naib Presiden (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengenai cadangan kontrak kerajaan diberikan kepada ketua bahagian. 

“Kedua, kenyataan Wan Saiful Wan Jan yang memaklumkan berlaku pengaturan kontrak kerajaan kepada syarikat melibatkan anak pemimpin PPBM Perlis. 

“Hal ini adalah satu tindakan yang serius. Kontrak-kontrak kerajaan mungkin diagihkan kepada kepentingan kroni, tidak telus dan menzalimi pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Abdul Rashid ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Tahunan partinya secara terbuka mencadangkan kontrak kerajaan diberikan kepada ketua bahagian dan cawangan parti, yang kemudian dibidas pelbagai pihak.

Terbaru semalam, Wan Saiful pula mendedahkan beliau ditawarkan wang yang besar sekiranya membantu pengaturan pemberian kontrak kerajaan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat yang membabitkan anak pemimpin Bersatu dari Perlis.

Nasruddin juga membangkitkan kes membabitkan Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang disiasat SPRM berhubung dakwaan penerimaan sejumlah RM 800,000 daripada pihak tertentu untuk menyelesaikan hutang yang sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan berhubung kes berkenaan. 

“Elakkan pendakwaan terpilih sehingga ia boleh menjatuhkan integriti badan penguatkuasaan pencegahan rasuah di Malaysia. 

“Rakyat membuat perubahan untuk melihat negara bebas rasuah dan salah guna kuasa tetapi Pakatan Harapan masih mengamalkan sikap yang sama,” ujarnya. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.