Najib Sangkal Laporan WSJ Dakwa China Tawar ‘Bail Out’ 1MDB

SHAH ALAM – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menyangkal laporan media asing Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa China menawarkan untuk ‘bail out’ (menyelamat) syarikat 1MDB pada 2016, sebagai balasan kepada beberapa penganugerahan projek besar di Malaysia.

Menerusi hantaran di Facebook, Najib berkata tawaran seumpama itu tidak pernah berlaku, di mana Malaysia sendiri berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan syarikat Abu Dhabi, IPIC.

“Malaysia terus berusaha dan berjanji menandatangani perjanjian penyelesaian dengan IPIC milik kerajaan Abu Dhabi untuk memastikan bahawa semua wang yang didakwa hilang dari 1MDB akan dikembalikan sebelum 31 Disember 2020,” katanya.

Terdahulu The Wall Street Journal, yang memetik dokumen dikatakan sebagai minit mesyuarat daripada beberapa siri mesyuarat yang tidak didedahkan sebelum ini, melaporkan bahawa pemimpin kanan China menawarkan pada 2016 untuk membantu menyelamatkan dana kerajaan Malaysia sebagai balasan bagi pertukaran menguntungkan dalam projek kereta api dan saluran paip di bawah program ‘One Belt, One Road’ membina prasarana di luar negara.

Dalam pada itu, Najib juga menyangkal laporan media itu yang mendakwa China menawarkan untuk memasang peranti pengintip di rumah dan pejabat wartawan WSJ yang membuat laporan berkenaan skandal 1MDB, di Hong Kong.

Tegas Najib juga, dakwaan lain WSJ bahawa China menawarkan untuk menggunakan pengaruh mereka bagi memastikan Amerika Syarikat dan negara lain menggugurkan siasatan terhadap 1MDB juga tidak benar.

“Seperti dilaporkan oleh WSJ juga, semua negara termasuk Amerika Syarikat tidak menghentikan siasatan mereka masing-masing di sebalik dakwaan itu.

“Pada pendapat saya, Malaysia perlu berhati-hati untuk mengelakkan negara terlibat di dalam hal-ehwal geopolitik antara dua kuasa besar hanya berdasarkan laporan dari media dan jangan mudah untuk menuduh negara lain kerana ianya akan merugikan untuk negara,” katanya lagi. 

Sementara itu dalam kenyataan berbeza, jurucakap kedutaan China di Kuala Lumpur turut senada dengan Najib, dan berkata negara itu mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman di negara lain.

“China tidak pernah menyertakan syarat politik dalam kerjasama kami dengan negara lain.

“Kami mempromosikan Inisiatif ‘One Belt, One Road’ mengikut prinsip rundingan meluas, sumbangan bersama dan perkongsian manfaat, dengan matlamat ke arah pembangunan dan kemakmuran bersama.

“Kami tidak menerima sebarang tuduhan tidak berasas yang dibuat terhadap China,” kata kenyataan itu hari ini seperti yang dilaporkan Malaysiakini. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.