KKM Bakal Laksana Larangan Merokok Di IPT

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan bercadang memperluaskan kawasan larangan merokok ke institusi pengajian tinggi yang dijangka dikuatkuasakan tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata larangan itu susulan penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan dan dalam bangunan di kawasan Parlimen.

“Kami (Kementerian Kesihatan) sudah melakukannya di Parlimen dan restoran, dan sekarang mungkin akan memperluaskannya ke semua universiti.

“Kami merancang untuk menguatkuasakannya di semua universiti termasuk awam dan swasta. Ia mungkin dalam tahun ini,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Buku Fakta Industri Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA) edisi 2018 di sini, hari ini.

Pada 15 Oktober tahun lalu, larangan merokok dikuatkuasakan dalam bangunan di kawasan Parlimen, manakala pada 1 Januari lalu, larangan itu membabitkan tempat makan.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Turut hadir Presiden PhAMA, Chin Keat Chyuan.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata kerjasama antara industri penjagaan kesihatan dan Kementerian Kesihatan adalah amat penting berikutan populasi warga tua di Malaysia dijangka mencecah 3.4 juta menjelang 2020.

Sementara itu, Keat Chyuan berkata pertumbuhan industri farmaseutikal negara dijangka terus berkembang kepada lapan hingga 10 peratus setiap tahun dipengaruhi pelbagai faktor termasuk peningkatan populasi warga tua.

Katanya, faktor lain yang mempengaruhi pertumbuhan sektor itu termasuk peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD), peningkatan pendapatan dan taraf pendidikan penduduk.

“Ketika ini lebih 445 syarikat termasuk beberapa syarikat farmaseutikal terbesar dunia bertapak di Malaysia.

“Semua syarikat ini sama-sama menyumbang terhadap nilai pasaran industri farmaseutikal sebanyak RM7.5 bilion setakat suku ketiga tahun lalu,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.