Kes Cradle Fund: Belum Ada Perkembangan – Polis

KUALA LUMPUR: Polis masih menunggu laporan bedah siasat kali kedua ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Allahyarham Nazrin Hassan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata setakat ini belum ada sebarang perkembangan baharu berhubung kes berkenaan.

“Belum ada apa lagi (tiada perkembangan).

“Kita masih tunggu laporan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan laporan penuh bedah siasat kali kedua Allahyarham Nazrin mengambil masa lama berikutan ia bergantung kepada doktor yang membuat laporan berkenaan.

Allahyarham Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun lalu.

Allahyarham dikatakan maut akibat kebakaran selepas telefon bimbit dalam biliknya meletup.

Dua bulan kemudian, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba mendapati ada kesan petrol di tempat kejadian.

Polis kemudian menyoal siasat anggota keluarganya, termasuk menahan reman isteri dan dua anak tirinya.

Pada 8 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan kubur Allahyarham Nazrin digali semula supaya bedah siasat kedua dapat dijalankan bagi mencari bukti baharu mengenai kematiannya.

Jenazah Allahyarham Nazrin digali semula untuk proses bedah siasat kali kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Seksyen 6 Kota Damansara pada 15 Oktober lalu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!