Kenapa Perlu Bimbang Lantikan Pemimpin Bersatu Dalam GLC, Rais Tanya KJ

SHAH ALAM – Pengarah Strategi Parti Pribumi Bersatu, Dr Rais Hussin Mohamed Ariff membalas kembali kritikan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang mempersoalkan pelantikan tiga pemimpin parti itu ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Rais berkata, tidak semestinya jika ketiga-tiga pemimpin tersebut yang terdiri daripada golongan profesional yang aktif berpolitik perlu dikecualikan daripada menjawat jawatan berkenaan.

“Kenapa perlu bimbang dengan lantikan tersebut? Kita sepatutnya perlu memberi tumpuan kepada perkara yang lebih utama dan jangan hanya kerana mereka profesional dan aktif dalam politik (mereka tidak boleh terajui GLC) dan mengecualikan mereka daripada diberikan apa-apa kedudukan serta tanggungjawab yang boleh menyumbang kepada negara,” katanya dipetik Malaysiakini.

Jelas Rais, perkara yang perlu dibimbangkan adalah sekiranya orang seperti bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dilantik menerajui GLC.

“Kita harus melihat ia secara holistik, ia bukan lantikan seperti pengerusi (Lembaga) Tabung Haji (Abdul Azeez) yang tidak ada pengalaman dan daya saing.

“Saya fikir kalau kita lihat kepada ketiga-tiga lantikan tersebut mereka adalah golongan profesional. Lihat (peguam) Haniff Khatri Abdulla, dia adalah peguam profesional, sangat berkelayakan dan peguam yang berpengalaman.

“Lihat Sukiman Sarmani, dia bukan saja seorang doktor tetapi juga profesor emeritus dan kita lihat Akhramsyah (Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi), dia sangat berkelayakan dan merupakan pengarah urusan di Shell Malaysia,” katanya lagi.

Khairy sebelum ini mempertikaikan lantikan tiga pemimpin Bersatu menerajui badan berkaitan kerajaan yang dibuat Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar, Rina Harun.

Terdahulu, Rina mengumumkan dua anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Sukiman Sarmani menerajui Universiti Teknikal Mara (Unitek-Mara), dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi menerajui Mara Corporation Sdn Bhd.

Sementara itu Haniff Khatri Abdulla, peguam yang pernah mewakili Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Khairy dalam kenyataan di Twitternya, mengingatkan janji Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto untuk memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah dari kalangan golongan profesional, dan bukan berdasarkan kaitan politik.

“Malaysia Baru… Mungkir janji sejak 10 mei 2018,” kata bekas Ketua Pemuda UMNO itu. -SuaraTv 

One thought on “Kenapa Perlu Bimbang Lantikan Pemimpin Bersatu Dalam GLC, Rais Tanya KJ

  • January 8, 2019 at 6:56 pm
    Permalink

    Betul Tan Sri Rais…
    Ini dijamin kerajaan PH..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.