Azmin Ali Nafi Bertelingkah Dengan Anwar

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan beliau bertelingkah dengan presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau dilihat berbalas ciapan pada Ahad lalu dalam Twitter.

“Tidak betul (bergaduh),” katanya secara ringkas kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) di Faber Imperial Court hari ini.

Pada Ahad lalu, Anwar memuat naik petikan ucapan Perdana Menteri United Kingdom, Winston S. Churchill menerusi akaun Twitternya, antara lain berkata, ‘anda tidak akan sampai ke destinasi jika anda berhenti dan melontar batu ke arah setiap anjing yang menyalak.’

Perkongsian Ahli Parlimen Port Dickson itu mendapat reaksi balas daripada Mohamed Azmin di akaun Twitter, antara lain berkata, walaupun menghadapi cabaran besar, beliau yakin tentang masa depan.

Ciap Mohamed Azmin lagi, Churchill juga mengingatkan ‘kita ini bukan hari-hari yang gelap, ini adalah hari-hari yang hebat negara kita pernah hidup’.

Mohamed Azmin juga menegaskan agar semua pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk PKR agar berhenti bercakap soal politik dan menumpukan kepada pembangunan negara selian mengurangkan kos sara hidup dan harga barang.

“Saya telah buat kenyataan yang tegas, hentikan semua perbincangan politik, orang dah muak dan penat, tolong.

“Bukan dia (rakyat) undi kita untuk bergaduh dalam politik. Sekarang adalah masa untuk tumpu kepada pembangunan ekonomi.

“Itulah yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengganggu pentadbiran beliau.

“Tetapi beliau cekal dan tegas untuk bersama-sama dengan Jemaah Menteri memulihkan ekonomi negara, memastikan pengurusan kewangan lebih bertanggungjawab serta membantu rakyat di bawah,” katanya.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata lagi, beliau dan jemaah menteri lain yang dilantik bertanggungjawab untuk menyokong pentadbiran Mahathir sepenuhnya.

“(Ini kerana) Kita ada agenda rakyat yang mesti kita laksanakan dalam lima tahun akan datang.

“Jadi, tiada lagi perbincangan mengenai politik pada ketika ini. Ya (termasuk PKR) kita kuat dan bersatu padu dan kita menyokong kerajaan sedia ada untuk teruskan tugasnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.