Tolak Politik Kebencian

PEKAN – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, negara ini tidak memerlukan pemimpin yang mengamalkan politik kebencian atau sering menghamburkan kata-kata kesat kerana amalan sedemikian tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata, apa yang diperlukan adalah politik yang menjaga hak dan kebajikan rakyat serta kepentingan negara secara keseluruhan seperti dinikmati di bawah kepemimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO.

“Inilah yang kita mahukan, bukanlah orang yang menabur janji atau memainkan politik kebencian atau mereka yang mengata, mengumpat dan mengutuk dengan kata-kata kesat.

“Ini tidak mencerminkan nilai murni dan norma yang baik untuk masyarakat. Kita tidak perlu kepada politik sedemikian rupa,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Kepada Murid-murid Miskin dalam Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO serta barisan kepemimpinan UMNO Bahagian Pekan.

Pada majlis tersebut, seramai 2,000 murid menerima bantuan kelengkapan persekolahan menerusi program Kegembiraan Kembali Ke Sekolah anjuran Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO serta Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, sebab itu parti berkenaan meletakkan kepenti­ngan dan hak rakyat sebagai ke­utamaan tertinggi dalam perjua­ngannya.

Beliau menegaskan, UMNO tidak mahu dikenali sebagai sebuah parti yang hanya boleh menjanjikan perkara-perkara manis tetapi diketahui tidak boleh dan tidak mampu dilaksanakan.

“Saya selalu sebut, sebagai sebuah kerajaan kita tidak menjanjikan bulan dan bintang tetapi kita menjanjikan apa sahaja yang boleh dilakukan untuk kebajikan rakyat.

“Kita tetap tunaikan janji-janji kita. Kata kita kotakan sepertimana dilihat dalam Bajet 2018, hari pertama iaitu pada 1 Januari lalu kita janji empat tol dimansuhkan dan keempat-empat tol itu telah dimansuhkan, melaksanakan Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) dan banyak lagi bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sedang berjalan,” ujarnya.

Tambah Ahli Parlimen Pekan itu, kerajaan akan terus menghulurkan pelbagai bantuan kepada rakyat kerana negara ini ditadbir urus dengan baik termasuk dari segi keselamatan, hubungan antara kaum, memperjuangkan syiar Islam, ekonomi, pelaburan, sistem pengangkutan dan kemudahan prasarana.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.