‘Tahniah Qobin! Tersenarai 44 Untuk Grand Slam’

KUALA LUMPUR – “Tak sangka Muqharabbin atau Qobin tersenarai di nombor 44 untuk Grand Slam (Last Degree),” kata Penasihat KE7B Malaysia, Datuk Akmar Hisham Mokhles yang mengulas ekspedisi yang telah berjaya disertai Ikon Sukan Lasak Negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin.

Akmar dalam status Facebooknya sebentar tadi berkata, secara keseluruhannya Qobin menjadi warga dunia yang ke-60 berjaya bergelar Penjelajah Grand Slam.

“Senarai ini jauh mengatasi sasaran kami iaitu di nombor 70 sebelum ini berikutan Qobin perlu bersaing dengan ramai penjelajah dari negara lain yang cuba melengkapkan misi masing-masing sebelum akhir tahun lalu.

“Ini bermakna Qobin telah berjaya melengkapkan ekspedisinya lebih awal berbanding penjelajah lain yang turut memburu gelaran yang sama,”katanya.

Tambahnya, seperti yang sudah maklumkan sebelum ini, ada penjelajah yang gagal menyempurnakan ekspedisi terakhir masing-masing untuk melengkapkan semua 9 ekspedisi wajib yang mesti dilakukan sebelum boleh bergelar Penjelajah Grand Slam.

Menurutnya lagi, sembilan ekspedisi wajib itu ialah menawan 7 puncak gunung tertinggi di 7 benua dan menakluk Kutub Utara serta Kutub Selatan.

“Ada antara mereka masih gagal menyempurnakan penjelajahan di kutub dan ada yang gagal sampai ke puncak gunung terakhir yang biasanya kerana faktor cuaca buruk selain keadaan kesihatan penjelajah itu sendiri.

“Syabas Qobin. Nama anda telah tercatat secara rasmi hari ini sebagai penjelajah bertaraf dunia.
Satu lakaran baru sejarah Malaysia tercipta kini dalam bidang penjelahan,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.