Shabery: Negara Hancur Jika HARAPAN Terajui Negara

Negara diancam kehancuran jika Pakatan Harapan (HARAPAN) dipilih sebagai pemerintah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata ia kerana pakatan pembangkang itu tidak stabil akibat tiadanya parti yang dominan menerajui gabungan terbabit, yang merangkumi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

“…pastinya perebutan kuasa akan terjadi untuk menentukan siapa yang akan menjadi perdana menteri (PM) meskipun mereka mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM (sekiranya pakatan menang PRU14), ” katanya.

Beliau mengulas pengumuman HARAPAN hari ini yang menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

Pakatan pembangkang itu turut mengumumkan pembahagian kerusi Parlimen bagi PRU14 iaitu BERSATU sebanyak 52 kerusi, PKR 51 , DAP 35 dan AMANAH 27.

Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani serta Anggota Parlimen Kemaman memberitahu pemberita demikian selepas menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan kepada 60 mangsa kejadian ribut di Taman Fikri 2 di Chukai.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.