Reformasi Impian HARAPAN Salinan 20 Tahun Lalu

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata membaca senarai reformasi yang dicadangkan Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini adalah seperti membaca salinan deklarasi sebelumnya yang dibuat sejak 20 tahun lepas.

Beliau berkata reformasi teras 13 perkara itu adalah antara pengumuman yang dibuat hari ini dan akan dilaksanakan dengan segera jika gabungan itu memenangi pilihan raya umum akan datang.

“Sebagai contoh, perkara mengenai reformasi parlimen dan menjadikannya sebuah institusi bebas telah diulang-ulang selama lebih 20 tahun.

“Sistem Parlimen Malaysia berfungsi seperti sistem Westminster Britsih yang menyaksikan anggota parlimen mengundi mengikut parti dan bukan seperti Senat/Kongres di AS apabila anggotanya mengundi bukan berdasarkan parti.

“Jadi, bagaimana HARAPAN mahu memenuhi janji ini sedangkan mereka memecat anggota parti sendiri misalnya kerana mengundi menyokong rang undang-undang kerajaan?” kata Salleh menerusi catatan dalam laman blog beliau sskeruak.blogspot.com malam ini.

Salleh juga berkata, apa yang aneh ialah, dulu agenda reformasi 13 perkara ini adalah sebab yang diberikan oleh pembangkang mengapa Tun Dr Mahathir Mohamad harus disingkirkan dan diganti.

“Kita perlu menyingkirkan Mahathir, kata mereka, supaya reformasi dapat dilaksanakan, dan selagi Mahathir kekal sebagai perdana menteri, Malaysia tidak akan menyaksikan reformasi.

“Hari ini mereka memberitahu kita Mahathir mengetuai agenda reformasi ini. Dan menjadikan Mahathir perdana menteri untuk membantu memperjuangkan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara sedangkan Anwar dipenjarakan pada 1998 disebabkan Mahathir, ini adalah situasi yang sangat mengelirukan,” kata beliau.

HARAPAN hari ini mengumumkan Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia sebagai calon perdana menteri, manakala Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-14.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.