PH Marah Kerana Gagal Jadikan PAS Lembu Dicucuk Hidung – Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Gagal menjadikan Pas sebagai lembu untuk dicucuk hidungnya maka pelbagai serangan yang keterlaluan lahir daripada mulut pemimpin Pakatan Harapan, kata Naib Presiden Pas, Idris Ahmad.

Jelasnya, semua tomahan dan tuduhan yang disuarakan oleh gabungan itu menggambarkan kemarahan mereka selepas Pas tetap dengan pendirian untuk bertanding bersendirian pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Perangai manusia ini bila nafsu amarah menguasai diri mereka sudah rasa.

“Perasaan di hati mereka itu dijelmakan melalui mulut, sebab Pas tidak boleh dicucuk hidung oleh mereka,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Pas dan UMNO atau Barisan Nasional sedang ‘berkhalwat’ sesama sendiri.

Muhyiddin berkata begitu kerana menyifatkan Pas membantu UMNO untuk kemenangan parti itu pada pilihan raya akan datang.

Tambah Idris, kemarahan Pakatan Harapan sebenarnya melambangkan kekalutan parti itu untuk bertanding lebih tiga penjuru nanti.

“Mereka tahu bahawasanya ketiadaan Pas mereka akan mengalami masalah dalam pilihan raya yang akan datang, mereka nak Pas ini dicucuk hidung sebab itu nafsu marah mereka keluar banyak kenyataan begitu,” ujarnya.

Idris dalam pada itu berkata, jumlah kerusi Parlimen yang bakal ditandingi Parti Amanah Negara (PAN) menerusi pengumuman yang dibuat semasa Konvensyen Pakatan Harapan semalam di Ideal Convention Centre (IDCC) membuktikan parti itu berjaya dipergunakan oleh gabungan.

“Kerusi yang diterima PAN itu menggambarkan itulah dia selama ini kata hebat boleh ganti Pas, sekarang boleh tahu tidak boleh gantilah mereka ikut sahaja.”katanya.

PAN diberikan kerusi yang paling sedikit iaitu 27 manakala PPBM paling banyak 52 kerusi berbanding PKR 51 manakala DAP 35 pada pilihan raya akan datang. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.