Mandat Rakyat Dipermainkan – Pemuda UMNO Kedah

ALOR SETAR – Keputusan untuk melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri sementara sebelum jawatan itu diambil alih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas membuktikan bahawa Pakatan Harapan diketuai DAP, mengamalkan politik ‘Machiavelli’ iaitu matlamat menghalalkan cara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, gabungan parti-parti politik yang membentuk pakatan tersebut jelas tidak kisah untuk sekali lagi mempermainkan mandat rakyat hanya kerana mahu menyelamatkan ego individu tertentu.

“Perdana Menteri sementara ini bukanlah idea politik yang berpaksikan Perlembagaan. Apabila tiba masanya nanti, sudah tentu ada sebuah kerusi Parlimen terpaksa dikorbankan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil semata-mata untuk membawa Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Pada masa itu, kami bimbang rakyat akan terabai. Dalam apa jua keadaan, rakyat tidak seharusnya dijadikan tebusan dan berterusan dilibatkan dengan permainan politik demi ‘menghalalkan’ cita-cita individu tertentu menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, percaturan melantik Mahathir untuk menyandang sementara jawatan itu yang pernah dikuasainya selama 22 tahun, bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

“Perkara ini merupakan sesuatu yang sudah dijangka dan kita tidak perlu memberi reaksi kepadanya. Bagi kami apa yang diperkatakan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin iaitu pencalonan tersebut bakal menimbulkan ketidakstabilan politik, sememangya tepat.

“Dalam keadaan sekarang, kami merasakan yang rakyat perlu diberi keutamaan dengan mereka memerlukan sebuah kerajaan yang bekerja serta sedia menjalankan janji ditabur. Untuk itu, biarlah kita terus fokus kepada agenda pembangunan dan kebajikan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.