Mahathir Calon PM: Memalukan Dan Satu Tragedi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan keputusan Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini untuk secara rasmi menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sebagai “tragedi dan memalukan”.

“Akhirnya HARAPAN memilih seseorang yang pernah digelar mereka sebagai individu paling korup di Malaysia sebagai (calon) perdana menteri. Betapa memalukan.

“Pengumuman Mahathir sebagai (calon) perdana menteri bertentangan dengan agenda reformasi mereka sendiri. Ia adalah tragedi untuk perjuangan mereka,” katanya menerusi Twitter sebentar tadi.

Abdul Rahman memperlekehkan agenda perubahan yang diumumkan HARAPAN bersekali dengan penamaan Mahathir sebagai calon perdana menteri mereka.

“Hakikatnya Mahathir tidak akan melaksanakan pembaharuan (yang diumumkan). Beliau sudah dibuktikan sebagai pakar tipu daya dan pembaharu yang tidak berguna.

“Kelakar apabila HARAPAN melantik Mahathir sebagai bakal perdana menteri dan berharap beliau akan melaksanakannya,” katanya.

Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik BN mempersoalkan sama ada HARAPAN telah melupakan idealisme mereka demi merebut kuasa.

“Paling utama, Mahathir tidak sinonim dengan inisiatif pembaharuan yang juga diumumkan HARAPAN hari ini. Strategi yang buruk,” katanya.

Akhirnya, katanya lagi, pengumuman HARAPAN hari ini hanya memberi kelebihan kepada BN.

“Ia sememangnya berita baik buat BN. HARAPAN telah menunjukkan segala cakap-cakap mereka tentang reformasi selama ini dan memberi peluang kepada orang muda tidak lebih sekadar retorik,” katanya aggota Majlis Tertinggi Umno itu.

HARAPAN antara lain mengumumkan pelaksanaan had dua penggal untuk perdana menteri, jika mentadbir negara.

HARAPAN turut akan mewajibkan semua ketua institusi penting negara seperti peguam negara, ketua polis negara, ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketua audit negara dan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bebas daripada pengaruh politik, dengan melalui proses pengesahan Jawatankuasa Terpilih Parlimen, sebelum dilantik Yang di-Pertuan Agong.

Inisiatif lain termasuk reformasi institusi, ekonomi dan sosial yang dinyatakan HARAPAN sebelum ini, serta janji memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menstabilkan harga petrol dan menegakkan Perjanjian Malaysia 1963.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.