Lopes Tekad Jaring 15 Gol Dalam Liga-M

KOTA BHARU – Penyerang baharu Kelantan, Bruno Lopes bertekad untuk menjaringkan sekurang-kurangnya 15 gol dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, bagi mengatasi 10 gol yang dijaringkannya semasa beraksi bersama kelab Persija Jakarta tahun lepas.

Pemain kelahiran Brazil berusia 31 tahun itu berkata beliau tidak sabar untuk menampilkan prestasi terbaik bersama skuad The Red Warriors kerana pasukan berkenaan adalah antara kelab tersohor di negara ini.

“Saya tidak teragak-agak menyarung jersi Kelantan selepas mendapat tawaran kerana saya tahu pasukan ini mempunyai sejarah yang cemerlang untuk muncul juara.

“Malah, pasukan Kelantan juga mempunyai penyokong fanatik yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukan ini,” katanya lapor Bernama

Lopes adalah antara lima pemain import yang akan menyarung jersi Kelantan musim ini.

Ditanya mengenai Cassio Francisco de Jesus dan Ferdinand Sanaga yang turut beraksi dalam saingan liga di Indonesia tahun lepas dan kini menjadi rakan sepasukannya, Lopes berkata ia akan memberi kelebihan kepada mereka ketika berdepan pasukan lawan.

“Walaupun kedua-dua pemain berkenaan mewakili pasukan berbeza semasa beraksi dalam liga di Indonesia, saya percaya kita mampu membentuk keserasian yang baik di sini.

“Pemain import Kelantan yang lain, Margaro Gomis dan Do Dong-hyun juga boleh membantu pasukan dalam mengharungi saingan Liga-M musim ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.