Liga Arab Usaha Dapatkan Pengiktirafan Untuk Palestin, Baitulmuqaddis

JEDDAH – Menteri-menteri luar Arab menegaskan keamanan di Asia Barat mustahil akan wujud tanpa membangkitkan isu penyelesaian dua negara de­ngan menjadikan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi berkata, demi keamanan itu, Liga Arab akan berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap negara Palestin dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya selepas Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf bandar suci itu sebagai ibu negara Israel.

“Wujud keputusan politik mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan kami akan berjuang untuk memperoleh keputusan politik antarabangsa bagi mengiktiraf negara Palestin dan Baitulmuqaddis (timur) sebagai ibu negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar bersama Ketua Liga Arab, Ahmed Abul Gheit selepas rundingan di Amman tentang status Baitulmuqaddis yang turut dihadiri menteri luar Mesir, Arab Saudi, Maghribi dan pihak berkuasa Palestin serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kata Ayman, negara-negara Arab akan bekerja secara kolektif dengan masyarakat antarabangsa bagi mendapatkan pengiktirafan antarabangsa itu.

Menurut beliau, pada mesyuarat itu juga kesemua negara yang hadir bersetuju terhadap langkah-langkah dalam memastikan tiada negara lain yang akan mengiktiraf bandar itu sebagai ibu negara Israel.

“Kami ulangi bahawa tiada keamanan dan keselamatan boleh dicapai di Asia Barat tanpa kewujudan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Palestin, sejajar dengan semua peraturan antarabangsa,” katanya yang dilaporkan portal Arab News.

Ahmed pula menegaskan, menteri-menteri luar Arab akan bertemu semula hujung bulan ini untuk mendengar taklimat Palestin tentang perkembangan usaha mereka setelah berjaya menolak keputusan AS dan usaha haram yang dilakukan oleh Israel untuk mengubah status Baitulmuqaddis, lapor utusan

Dalam pada itu, AS dilaporkan telah membekukan pembiayaan AS$125 juta (RM499.3 juta) kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyalurkan bantuan kepada pelarian Palestin.

Namun seorang pegawai Jabatan Negara AS berkata, tiada keputusan yang dibuat tentang pembiayaan berkenaan malah menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh laman berita Axios itu tidak benar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.