‘Janggal’ Dr. Mahathir Pernah Digelar ‘Mahafiraun’ Dinamakan Sebagai PM

KANGAR – Langkah menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan diketuai DAP jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), disifatkan ‘janggal’ memandangkan individu yang bakal dilantik itu adalah musuh utama pakatan pembangkang satu ketika dahulu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azlan Man berkata, beliau sendiri tidak memahami bagaimana Pakatan Harapan membuat keputusan itu namun pastinya mereka lebih mengetahui hal tersebut.

“Saya tidak tahu, hanya mereka (Pakatan Harapan) yang tahu atau perumpamaan ‘hanya jauhari mengenal manikam’ sebab itu pilihan mereka sendiri.

“Kalau mereka tahu Dr. Mahathir ini banyak kesalahan yang juga pernah digelar ‘Mahafiraun’ dahulunya, kini mereka sendiri lantik,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan pentadbiran kerajaan negeri dan amanat awal tahun baharu di Dewan Warisan di sini hari ini.

Konvensyen Pakatan Harapan yang diketuai DAP semalam mengumumkan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri manakala Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pula calon Timbalan Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya kelak.

Sementara itu, Azlan Man yang juga Menteri Besar menasihatkan seluruh ahli UMNO agar tidak terlalu sentimental dengan Dr. Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri dan Presiden parti itu selama 22 tahun.

Tidak menafikan sumbangan Dr. Mahathir kepada negara dan parti sepanjang menjadi Perdana Menteri, Azlan menegaskan, zaman tersebut sudah berlalu dan masa ini, Pengerusi PPBM itu adalah musuh UMNO yang perlu ditentang.

“Sekarang beliau (Dr.Mahathir) bukan lagi ahli UMNO, tetapi musuh UMNO yang mengetuai sebuah parti lain (PPBM). Kita juga tidak boleh hanyut dengan apa yang Dr. Mahathir lakukan dulu sebagai Perdana Menteri.

“Kita akui beliau banyak sumbangan dan dalam masa sama Dr. Mahathir juga ada kelemahannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.