Jangan Tertipu Dengan Agihan Kerusi Dalam PH, DAP Tetap Mendominasi

Pengumuman mengenai pengagihan kerusi dalam Konvensyen Pakatan Harapan semalam menyaksikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memperolehi 52 daripada 165 kerusi parlimen di Semenanjung manakala PKR pula mendapat 51 kerusi, 35 kerusi untuk DAP dan 27 kerusi pula buat Parti Amanah Negara (PAN).

Melihat kepada pengagihan kerusi berkenaan, mungkin ramai yang akan terpesona dengan kerusi Parlimen ini kerana kononnya ia adalah bukti Pakatan Harapan didominasi oleh sebuah parti Islam iaitu PPBM, bukannya parti bukan Melayu dan bukan Islam DAP.

Kamarul Zaman Yusoff

Namun menurut penganalisis dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff, jangan tertipu dengan pengagihan kerusi berkenaan.

Ini kerana daripada 35 kerusi yang akan ditandingi oleh DAP di Semenanjung pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini, 31 daripadanya adalah kerusi yang telah sedia dimenangi oleh DAP di dalam PRU 13 lalu.

Ini jauh berbeza dengan PPBM di mana daripada 52 kerusi yang akan ditandingi oleh parti itu di Semenanjung, tiada satu pun kerusi yang telah sedia dimenangi oleh PPBM, hanya kerusi di Pagoh, Johor, yang disandang oleh Muhyiddin Yassin.

Itu pun kemenangan Muhyiddin adalah atas tiket Barisan Nasional (BN).

“Meskipun bilangan kerusi yang akan ditandingi PPBM di Semenanjung di dalam PRU 14 ini adalah lebih banyak berbanding bilangan kerusi oleh DAP, iaitu pada kadar 52:35, status quo kemenangan kedua-dua parti di Semenanjung pula adalah 31:0 untuk DAP.

“Perkara penting kedua yang perlu diingati adalah PPBM mengumumkan tidak akan meletakkan sebarang calon di di Sabah dan Sarawak. Ini menjadikan bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh PPBM di seluruh Malaysia di dalam PRU 14 kekal pada tahap 52.

“Sebaliknya pada PRU 13 lalu, DAP telah meletakkan empat calon di Sabah, iaitu di kerusi-kerusi P171 Sepanggar, P172 Kota Kinabalu, P173 Putatan dan P186 Sandakan (dan menang di kerusi-kerusi P172 Kota Kinabalu dan P186 Sandakan),” katanya yang menulis menerusi Facebook beliau, Kamarul Yusof.

Kamarul Zaman turut menyatakan 54 kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh DAP di seluruh Malaysia di dalam PRU 14 adalah lebih tinggi berbanding 52 kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh PPBM di seluruh Malaysia.

Berdasarkan ini, jelas bahawa `Muafakat Pakatan Harapan’ yang diumumkan oleh Konvensyen Pakatan Harapan semalam adalah untuk mengaburi mata rakyat Malaysia bahawa PPBM yang akan mendominasi Pakatan Harapan bukannya PH.

Sebaliknya yang sebenar adalah DAP yang akan kekal mendominasi Pakatan Harapan. PKR pula kata beliau,
memang betul parti itu meletakkan calon di Sabah dan Sarawak pada PRU 13, tetapi PKR di Sabah dan Sarawak, malah di Semenanjug pun, bukanlah parti Melayu Islam.

“Lihatlah sahaja siapa Pengerusi PKR Sarawak, bukankah beliau si evangelis Kristian tegar yang bernama Baru Bian?,” kata Kamarul.

Manakala PAN pula, sampaikan salam takziah pun sudah cukup agaknya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.