Foto Dengan Neelofa, Peminat Haqiem Kecewa

KUALA LUMPUR: Usaha penyanyi, Haqiem Rusli memuat naik fotonya dengan bintang jelita, Neelofa pada laman sosial pantas mendapat reaksi peminat yang rata-rata kecewa dengan tindakan penyanyi berusia 20 tahun itu.

Menyanjung tinggi kejayaan Neelofa baik dalam bidang seni mahupun perniagaan, Haqiem menjelaskan, perkongsian itu sekadar gurauan dengan peminat dan pengikut laman sosialnya.

“Keterangan gambar yang disertakan sekadar gurauan semata-mata. Malah, peminat juga turut berjenaka meluahkan ‘kekecewaan’ mereka. Bagi saya, perkongsian itu tidak perlu dipandang serius oleh mana-mana pihak.

“Saya meminati dan menjadikan kejayaan Neelofa sebagai pembakar semangat untuk mencapai apa yang diperolehnya. Kita lihat banyak perkara sudah dicapai Neelofa, semua itu perlu dibanggakan dan dijadikan contoh,” katanya kepada BH Online.

Mengulas mengenai keterbukaannya berkongsi foto dengan wanita lain pada laman sosial, Haqiem berkata:

“Saya fikir tidak salah untuk memuat naik gambar bersama. Ini disebabkan Neelofa menutup aurat. Malah, ia tidak bercanggah dengan prinsip yang pernah saya beritahu sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, Haqiem pernah menjelaskan tindakannya membuat suntingan terhadap foto bersama-sama peminat sebelum dimuat naik bagi mengelak dosa.

Penyanyi lagu Tergantung Sepi itu mahu memastikan aurat individu dalam foto tidak terdedah. Usaha itu dilihatnya dapat menutup aib dan fitnah.

Mengenai perkembangan kerjaya seni, Haqiem melancarkan single terbaharu berjudul Jatuh Bangun yang sudah pun dimuat naik di Youtube.

“Saya berhasrat untuk tampil dengan album yang memuatkan enam lagu dengan tiga daripadanya ciptaan sendiri,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.