Bekalan Air Bersih Di Kelantan, Dijangka Pulih Seminggu Lagi

Kuala Krai – Seramai 13,817 pengguna yang terputus bekalan air sejak 25 Disember lepas akibat banjir di Kelantan, dijangka mendapat bekalan semula apabila loji pemprosesan air yang terjejas siap dibaik pulih dalam tempoh seminggu lagi.

 

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata operator bahagian air dari negeri lain sedang giat membantu syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi mempercepatkan proses pemulihan itu.

 

“Dalam kejadian banjir itu, AKSB mengalami kerugian kira-kira RM10 juta apabila peralatan memproses air di loji-lojinya rosak akibat banjir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat Loji Memproses Air Tualang di sini, hari ini.

 

Mahdzir berkata antara loji yang rosak teruk dan sedang dibaik pulih di jajahan Gua Musang ialah di Limau Kasturi, Aring dan Bertam manakala di Kuala Krai membabitkan Tualang dan Stong.

 

Beliau berkata sehingga ini, sebanyak 12 loji yang rosak di seluruh Kelantan telah berjaya dipulihkan untuk memberi kemudahan bekalan air bersih kepada 223,300 pengguna.

 

Mahdzir berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) diminta mempercepatkan laporan mengenai kerugian yang dialami oleh AKSB untuk dipertimbangkan bantuan daripada kerajaan persekutuan.

 

“Di sini (Tualang) banyak paip yang pecah termasuk pam penyedut air dari Sungai Kelantan masih lagi ditenggelami air dan sukar untuk dikeluarkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

 

Beliau berkata kerajaan sedang berusaha untuk meringankan bebanan mangsa banjir termasuk dalam mendapatkan bekalan air bersih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.