Kertas Siasatan Kenyataan Paderi Diserah Kepada Pejabat Pendakwa Raya

SHAH ALAM, 8 Jan  — Polis Selangor hari ini menyerahkan kertas siasatan berhubung kenyataan pengarang majalah mingguan Katolik, ‘The Herald’, Paderi Lawrence Andrew berhubung isu penggunaan kalimah Allah kepada pejabat Pendakwa Raya.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata 99 individu telah diambil keterangan bagi membantu dan melengkapkan kertas siasatan itu.

“Kita dapat melengkapkan siasatan setelah memanggil pelbagai pihak termasuk Lawrence (Andrew) dan beberapa individu lain berhubung kenyataan paderi itu.

“Kertas siasatan diserahkan pagi tadi dan akan diteliti pihak Pendakwa Raya untuk disiasat mengikut Seksyen 4, Akta Hasutan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.

Shukri berkata pihaknya mengambil keterangan daripada Andrew berhubung isu itu, semalam.

“(Sehingga semalam) 101 laporan polis diterima di seluruh Selangor manakala selebihnya di negeri-negeri lain yang membantah kenyataan paderi itu,” katanya.

Andrew dipetik sebuah portal berita pada 27 Dis lepas sebagai berkata semua gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan mereka.

Sementara itu, Shukri berkata sepanjang 2013, Selangor mencatatkan 43,060 kes jenayah berbanding 40,076 pada tahun sebelumnya.

Justeru itu, Polis Selangor akan memperkasa pasukannya untuk memerangi dan menurunkan kadar jenayah di negeri ini.

“Kita akan menggembleng tenaga bagi tujuan ini, anggota yang ada bukan hanya terhad bertugas di pejabat semata-mata tetapi juga akan turun ketika operasi.

“Saya menyasarkan penurunan lima peratus indeks jenayah tahun ini bagi kes perjudian, kegiatan pelacuran dan maksiat serta kes pinjaman wang haram,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.