Tak Puas Hati Azmin Dikritik, Ahli PKR Keluar Dewan Beramai-Ramai Ketika Kongres Berlangsung

Ratusan ahli PKR yang dipercayai penyokong timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali bertindak melangkah keluar dari kongres parti itu, dengan menyatakan rasa tidak senang terhadap ucapan yang dibuat oleh perwakilan parti.

Tindakan keluar dewan secara beramai-ramai itu berlaku kira-kira jam 2.50 petang selepas perwakilan dari Penang Gooi Hsiao-Leung berucap, dengan ada yang menjerit “Balik! Keluar!”

Perwakilan yang meninggalkan dewan memberitahu Malaysiakini bahawa senarai perwakilan yang dibenarkan untuk berucap kebanyakannya mengkritik Azmin.

“Kami menyokong mereka yang benar-benar cuba untuk menyatukan parti, tetapi ada ucapan yang bertujuan untuk memecahkan parti dan memprovokasi. Ini tidak sepatutnya berlaku,” kata salah seorang delegasi kepada Malaysiakini.

Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Azmin sebelum ini bersetuju untuk berdamai.

Kedua-dua pemimpin juga dilihat menggunakan nada yang lembut dan cuba menerapkan perdamaian dalam kalangan penyokong masing-masing.

Terdahulu, beberapa perwakilan yang berucap dilihat mengkritik Azmin, termasuk perwakilan PKR Kedah Mohammed Firdaus Johari yang mengingatkan agar Azmin menumpukan tugas sebagai menteri hal ehwal ekonomi dan kurangkan menjadi “menteri pengiring”

Perwakilan Melaka Mohd Rafee Ibrahim dan perwakilan Johor Mohd Shahrun Radzi Salehudin pula menyeru supaya tindakan tegas diambil terhadap “pengkhianat” dalam PKR.

Bagaimanapun, perwakilan dari Selangor, Chegu Sekar menyuarakan rasa tidak puas hatinya dan menyifatkan pembahas-pembahas yang tampil berat sebelah.

“Pembahas semua sebelah pihak. Ini semua tak ikut apa yang presiden janji. Saya rasa ni tak patut sebagai ahli.

“Kita nak dengar apa perbahasan. Ini sekarang parti pemerintah bincangkan pasal usul dulu, manifesto. Ini hentam-hentam,” katanya.

Salah seorang delegasi yang enggan mendedahkan namanya berkata, perwakilan sepatutnya membahaskan ucapan dasar presiden dan bukannya menghentam timbalan presiden.

“Kita setuju Anwar jadi perdana menteri kelapan tapi bukan di sini tempat yang bawa hujah tersebut. Tak berapa sesuai.

“Isu perdana menteri kelapan bukan (isu) nombor satu dalam kongres tu. Kita ahli parti tapi tak sesuai untuk bidas (ucapan) dasar,” katanya.

Difahamkan, Azmin tidak berada di dewan ketika perbahasan sesi petang sedang berlangsung.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika ditemui pemberita berkata beliau tidak melihat perbahasan berkenaan menyasarkan Azmin dan penyokongnya.

“Soal beberapa teguran (terhadap Azmin dan penyokongnya) dalam kongres itu perkara lumrah. Takkan bila kita jadi kerajaan, yang kita nak dengar pujian dan sanjungan (dari) perwakilan.

“Kita mesti realistik. Disiplin itu ditunjukkan presiden masa ucapan dasar,” katanya.

Katanya, kritikan jawatan menteri atau timbalan menteri yang disandang bagi memperbaiki ekonomi rakyat serta mencegah rasuah merupakan teguran biasa. –

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Open

Close