Walau Bukan Peminat Bola Sepak Tapi Tun M Harap Harimau Malaya Tak Kecewakan Dirinya Dan Rakyat Malaysia

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad berharap pasukan Harimau Malaya akan membawa pulang Piala AFF Suzuki ke Malaysia, dengan menumpaskan pasukan Vietnam pada aksi final nanti.

Menyampaikan amanatnya kepada skuad kebangsaan hari ini, Perdana Menteri  mahu pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu meningkatkan latihan menjelang aksi pertama Selasa ini.

“Walaupun saya bukanlah peminat bola sepak sangat, tetapi kalau menang, seronok juga lah. Kalau kalah, tak seronok. 

“Saya harap kita akan dapat kemenangan ketika menentang Vietnam dua kali nanti. Dalam sukan ini kita kena ada disiplin. Jangan tidur lambat dan selalu ‘practice’. 

“Saya harap Harimau Malaya akan ‘practice’ dengan cukup kuat dan punyai semangat untuk capai kemenangan. 

“Malam itu nanti saya dipaksa pergi. Tak apalah, saya pergi tengok dan saya harap jangan kecewakan saya. Nak bagi kecewa orang Vietnam, boleh. Itu saya tak marah. Jangan bagi kecewa saya dan negara kita kerana (rakyat) negara kita berharap sangat kita dapat kemenangan,” katanya di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mahathir turut menerima jersi Harimau Malaya daripada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin di pejabat beliau.

Pasukan Harimau Malaya berjaya menempah tiket final selepas menumpaskan pasukan Thailand dalam aksi di Stadium Rajamangala pada malam Rabu lalu.

Walaupun terikat dengan jaringan 2-2 pada separuh akhir kedua di Bangkok itu, skuad kebangsaan berjaya menyingkirkan juara bertahan itu dengan kelebihan jaringan gol di gelanggang lawan.

Perlawanan akhir akan menggunakan format timbal balik dengan final pertama berlangsung pada 11 Disember, manakala aksi timbal balik pada 15 Disember ini. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.