Selepas Ini Ibu Miskin Di Kampung Nak Pinjam Dari Siapa? Ah Long?

KUALA LUMPUR – Membatalkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kerana dakwaan wujud pelanggaran undang-undang dalam pentadbiran tidak kena pada tempatnya. 

Sebaliknya menurut bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya mengambil tindakan kepada individu yang bertanggungjawab atas perbuatan melanggar undang-undang, bukannya memusnahkan AIM. 

“Alasan yang diberi oleh kerajaan PH untuk membatalkan AIM ialah kerana wujudnya pelanggaran undang-undang oleh pentadbiran terdahulu. Apa sebenarnya kesalahan ini juga tidak dinyatakan.

“Jikalau tuduhan-tuduhan ini betul, ambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bersalah dan perbetulkan pentadbiran AIM – bukan dengan membatalkan AIM dek tindakan beberapa individu,” katanya.

Program itu jelas Najib telah bertahun-tahun membantu rakyat miskin terutama yang tinggal di luar bandar. 

“Program AIM ini dah dijalankan bertahun-tahun dan sudah bantu berjuta rakyat miskin terutama di luar bandar bagi tingkatkan pendapatan mereka.

“AIM sudah dibuktikan sebagai satu inisiatif yang boleh dan dapat membasmi kemiskinan tegar dan mengurangkan jurang pendapatan antara yang kaya dengan miskin dan antara bandar dan luar bandar,” kata Najib dalam hantaran di Facebook hari ini. 

Golongan yang tidak berkemampuam di kampung selepas ini tambah Najib akan hilang tempat bergantung untuk menjana pendapatan mereka setelah AIM dibatalkan. 

“Apa salahnya untuk kerajaan beri sedikit bantuan kepada penduduk miskin di luar bandar untuk membiayai aktiviti perniagaan kecil-kecilan untuk tambah pendapatan mereka?

“Selepas ini ibu miskin di kampung nak pinjam dari siapa? Dari Ah Long?

“Saya amat sedih melihat bantuan untuk golongan miskin terus dimansuhkan atau dikurangkan,” tambah Najib. 

Namun menurut beliau tudak mustahil kerajaan akan mengubah keputusannya seperti mana isu pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.