PTPTN Sedia Pertimbang Rayuan Peminjam, Kata Wan Saiful

KUALA LUMPUR – Susulan bantahan ramai, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersedia mendengar rayuan peminjam yang memerlukan pertimbangan khas berhubung kaedah bayaran balik pinjaman menerusi skim Potongan Gaji Berjadual (PGB).

Menerusi satu kenyataan, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata beliau mengambil maklum pandangan dan cadangan yang disuarakan susulan pengumumannya berhubung pelaksanaan skim itu sebagai kaedah bayaran balik bermula Januari tahun depan.

“Saya mendengar kegusaran mereka dan saya bersedia mempertimbang rayuan daripada mereka yang memerlukan pertimbangan khas. Ada yang menyatakan bahawa mekanisme PGB adalah bertentangan dengan Perjanjian Pinjaman yang telah ditandatangani,” katanya.

Bagaimanapun jelas Wan Saiful, melalui perjanjian yang ditandatangani itu, peminjam telahpun bersetuju untuk membuat bayaran balik mengikut apa juga skim yang ditetapkan oleh PTPTN, termasuk potongan gaji melalui majikan.

Beliau berkata di bawah Seksyen 29, Akta PTPTN 1997 memperuntukkan kuasa kepada perbadanan itu untuk mengarahkan majikan melaksanakan potongan gaji ke atas peminjam.

Beliau turut mempertahankan bahawa dasar baharu PTPTN itu adalah bagi memastikan perbadanan berkenaan dapat terus membantu generasi yang akan datang.

“Kerajaan mempunyai pilihan adakah mahu memberi keutamaan kepada peminjam hari ini, atau memastikan kelestarian PTPTN supaya jutaan anak-anak kecil hari ini mempunyai dana untuk masuk institusi pendidikan tinggi pada masa akan datang.

“Ini bukan keputusan mudah kerana ia membabitkan dua kelompok yang mempunyai keutamaan yang berbeza. Keputusan kerajaan ini saya yakin akan memastikan bahawa PTPTN lestari demi kebaikan anak-anak kita,” tambahnya.

Pengumuman mengenai dasar baharu PTPTN itu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk pemimpin kerajaan yang tidak bersetuju kaedah PGB tersebut dilaksanakan ke atas peminjam.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran sebelum ini berkata majikan tiada hak untuk memotong terus gaji pekerja untuk bayar pinjaman PTPTN kecuali dengan persetujuan peminjam.

Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan mantan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli juga meminta PTPTN mengkaji semula dasar baharu itu yang disifatkan sebagai tidak adil. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.