PTPTN: Anak Muda Akan Bangkit Jika Tidak Pinda Skim PGB

KUALA LUMPUR – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) memberi amaran akan bangkit memperjuangkan hak sekiranya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih berdiam diri dan tidak meminda atau menarik balik skim Potongan Gaji Berjadual (PGB).

Anak muda juga memberi amaran kerajaan akan berhadapan dengan amukan jika PTPTN masih juga berdiam diri dan enggan menerima serta mendengar suara anak-anak muda.

Menurut Presiden Gamis, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai yang dipetik dari Sinar Harian, skim PGB adalah sangat zalim dan menekan hidup graduan Malaysia khususnya buat mereka yang datang daripada keluarga yang miskin.

“Apa yang dilakukan oleh Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik adalah tidak berperikemanusiaan dan lebih teruk daripada apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan BN dahulu.

“Kerajaan sepatutnya memberikan fokus kepada pembangunan polisi-polisi untuk memberdaya ekonomi anak muda dan bukannya merompak gaji anak muda miskin secara terbuka dan menggunakan kuasa yang mereka ada,” katanya.

Muhammad Faizzuddin berkata, Pengerusi PTPTN dan Menteri Pendidikan yang menikmati gaji besar pada hari ini sepatutnya berkerja untuk mencipta satu mekanisme yang mapan untuk membantu anak muda mempunyai ekonomi yang stabil disamping memastikan kestabilan kewangan PTPTN terjamin.

“Namun, apa yang berlaku adalah perkara yang sangat menyedihkan iaitu mereka mengambil jalan mudah dengan memeras ugut anak muda serta peminajam-peminjam PTPTN dengan kuasa yang mereka ada.

“Menurut laporan Bank Negara Malaysia 2017, graduan bujang sepatutnya mempunyai gaji sebanyak RM2700 sebulan, graduan yang berkahwin tanpa anak mendapat gaji sebanyak RM4500 sebulan dan graduan yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM6500 sebulan,” katanya.

Muhammad Faizzuddin memberitahu, sementara menurut data kajian yang dilakukan oleh Kajian Pengesanan mahasiswa 2016, sebanyak 89.1 peratus daripada mahasiswa graduan diploma yang berkerja mempunyai pendapatan sebanyak RM2,000 dan ke bawah sebulan dan sebanyak 48 peratus mahasiswa graduan ijazah pertama mempunyai pendapatan RM2,000 dan ke bawah.

“Ini menunjukkan bahawasanya majoriti graduan masih berada di bawah paras pendapatan yang baik seperti yang dicadangkan oleh BNM.

“Kerajaan sepatutnya tidak malas untuk membuat kajian dan berdialog dengan para pemegang taruh sebelum memperkenalkan polisi yang tidak munasabah, menekan graduan dan menzalimi peminjam-peminjam PTPTN,” katanya lagi. – Suara.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.