MB Johor Perlu Beri Penjelasan atau Letak Saja Jawatan – Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian perlu menjelaskan pertukaran status Pulau Kukup di Pontian daripada Taman Negara kepada tanah kesultanan.

Desakan itu disampaikan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A. Kadir Jasin yang menegaskan jika Osman gagal memberikan penjelasan, adalah lebih baik beliau letak jawatan.

A. Kadir yang terkenal dengan sikap kritikalnya kepada golongan raja-raja turut memberitahu, kebimbangan beliau terhadap pengambilan tanah negeri oleh Istana Johor telah disuarakan sebelum ini tetapi Osman menegaskan ia tidak berlaku.

“Saya ingin tanya Osman, adakah dia berkata benar apabila dia memberitahu saya Istana Johor tidak masuk campur urusan pentadbiran negeri semasa mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Bersatu pada 28 November lalu?

“Saya tanya, adakah betul khabar angin mengatakan Istana Johor mengambil tanah negeri, termasuk yang sekecil setengah ekar. Dia kata tidak, tetapi dia tidak tahu jika itu berlaku semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN),” katanya dalam kenyataan di laman blognya semalam.

Baru-baru ini, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan Pulau Kukup akan bertukar status kepada tanah kesultanan.

Pertukaran itu menurut Tunku Ismail adalah bertujuan melindungi kawasan itu dengan lebih baik. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.