Kit Siang Dakwa ICERD ‘Serasi’ Dengan Agama Islam Dan Perlembagaan Persekutuan

SHAH ALAM – Berbaki kurang 48 jam sebelum Himpunan Ummah berlangsung, Sabtu ini, Penasihat DAP Lim Kit Siang mengeluarkan pandangannya berhubung penolakan segelintir pihak bersabit cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Veteran DAP itu bertegas bahawa cadangan meratifikasi ICERD tidak berpunca daripada agenda rahsia untuk melemahkan Perlembagaan Persekutuan atau menyerang kedudukan orang Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu.

Malah katanya, ICERD sebenarnya serasi dengan Islam dan agama lain, malah ia turut serasi dengan Perlembagaan dan tidak menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Ini sebabnya kenapa kebanyakan negara majoriti umat Islam di dunia, termasuk negara anggota OIC seperti Jordan, Palestin dan bahkan Arab Saudi telah meratifikasi ICERD,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, penolakan terhadap ICERD adalah ekoran rakyat Malaysia menjadi mangsa begitu banyak mitos dan salah faham berkenaan konvensyen berkenaan, yang mana mereka dimomokkan sekiranya Malaysia meratifikasi ICERD, Perkara 153 Perlembagaan akan dimansuhkan apabila objektifnya telah dicapai.

“Sebenarnya, Perkara 153 konsisten dengan dengan tujuan ICERD, memandangkan Perkara 1(4) dan 2(2) konvensyen itu bertujuan melaksanakan kesetaraan yang berkesan atau substantif.

“Bukan sekadar kesetaraan yang bersifat rasmi dan luaran sahaja,” tambahnya.

Disebabkan itu kata beliau, ketika ini 36 daripada 38 negara dengan sistem monarki telah meratifikasi ICERD, dan tidak wujud indikasi bahawa dengan meratifikasi ICERD, negara berkenaan ini telah menjejaskan sistem monarki.

Beliau memberi contoh antara 36 negara berkenaan termasuklah United Kingdom pada 1969, Norway (1970), Sweden (1971), Denmark (1971), Belanda (1971), Jordan (1974), Belgium (1975), Jepun (1995) dan Arab Saudi (1997).

Kit Siang bagaimanapun berkata beliau menyokong keputusan Kabinet untuk tidak meratifikasi ICERD, meski ia katanya, satu langkah ke belakang dalam usaha membina Malaysia Baharu.

Ujarnya juga, Malaysia tidak harus meratifikasi ICERD sehingga majoriti kaum dan agama di negara ini menyokongnya dan memahami bahawa ia tidak mengancam kepelbagaian kaum, agama mahupun Perlembagaan.

Tambahnya, isu ICERD adalah amaran untuk seluruh rakyat Malaysia bahawa wawasan Malaysia Baharu masih boleh dikalahkan sekiranya oportunis politik dan para ‘desperado’ dibiarkan mengeksploitasi politik kebohongan, kebencian kaum dan agama.

“Tiada rakyat Malaysia yang mahu meratifikasi ICERD jika harganya ialah satu lagi rusuhan kaum seperti 13 Mei,”kata beliau. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.